Berita

Bekerjasama dengan Aisha Retno, Siti Nurhaliza kembali dengan Raya Nak Ke Mana?

- Diterbit 15 Mac 2025 8:30 AM MYT

BERTAMBAH meriah hari raya tahun ini apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kini muncul dengan lagu Raya Nak Ke Mana?

Selepas kali terakhir tampil dengan lagu raya baharu adalah menerusi Lip Lap Raya pada tahun 2022, Siti yang juga penyanyi nombor satu negara akui bertuah dapat bekerjasama dengan komposer muda Aisha Retno dan RADi dengan garapan lirik Aisha Retno serta Amylea Azizan.

Lagu raya berentak zapin ini mengembalikan nostalgia lagu raya yang pernah dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza namun mendapat sentuhan segar terbitan anak muda dua beradik, Aisha Retno dan RADi.

“Lagu raya cukup sinonim dalam kerjaya saya dan tahun ini saya berasa bertuah kerana dapat menyanyikan sebuah lagi karya yang mempunyai keistimewaan dan berpotensi malar segar,” ujarnya pada majlis pelancaran lagu itu baru-baru ini.

“SEKALI dengar, lagu ini terus memikat hati apatah lagi lagu berunsurkan irama tradisional sentiasa melekat di hati saya. ” – Siti Nurhaliza 

Sebagai artis berpengalaman, Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan anak muda kerana yakin setiap pengkarya mempunyai kelebihan mereka tersendiri.

Katanya, Raya Nak Ke Mana? adalah bukti di mana pencipta muda juga mampu menghasilkan lagu raya yang enak didengar, mudah diikuti serta memberikan aura kemeriahan hari raya yang dirindui.

Tambah Siti, pertama kali mendengar demo lagu Raya Nak Ke Mana?, beliau terus memutuskan untuk merakamkan lagu ini.

“Sekali dengar, lagu ini terus memikat hati apatah lagi lagu berunsurkan irama tradisional sentiasa melekat di hati saya.

“Saya sangat berharap agar lagu ini akan diterima pendengar dan peminat seperti koleksi lagu raya lain yang pernah saya nyanyikan.

“Sewaktu di studio, tak ambil masa yang lama. Sebab lagu itu memang catchy, ‘masuk’ dengan diri saya, cuma lenggok itu saya buat sebagaimana peminat biasa dengar saya nyanyikan lagu-lagu saya sebelum ini.

“Bekerja dengan Aisah Retno tak susah dan dia memberi kebebasan kepada saya untuk bawakan lagu itu dengan trademark saya.

“Dia seorang komposer yang hebat bersama rakan-rakannya yang lain,”ujarnya.

Raya Nak Ke Mana? merupakan lagu terbitan SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd.

Lagu itu mula dilancarkan di seluruh platform digital semalam dan video muzik lagu itu kini disiarkan di saluran youtube rasmi Siti Nurhaliza. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas