CADANGAN Projek Pembangunan Waterfront (Fasa 1) bernilai RM38 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-14 (RMKe-14) bakal memberikan manfaat ekonomi dan meningkatkan daya tarikan pelancong di pulau itu.
Projek tersebut yang bakal dibina di Victoria Harbour Beach, tapak pasar basah lama di pusat bandar Labuan.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, cadangan pembangunan tersebut selari dengan visi Bandar CHASE sebagai Healthy City yang dilihat berpotensi menjadi pusat rekreasi yang menarik, sekali gus meningkatkan daya tarikan pelancongan di Labuan.

Katanya, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk merealisasikan visi Chase City di bawah Rancangan Tempatan Labuan 2040 yang sejajar dengan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030 dan inisiatif menumpukan kepada pelancongan pintar, konsep bandar hijau dan selamat, rekreasi awam, dan kemampanan sosio-ekonomi.
“Projek ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan strategik Labuan yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Hala Tuju Wilayah Persekutuan awal tahun ini.
“Sekiranya direalisasikan, projek ini dijangka bukan sahaja merancakkan industri pelancongan, malah mampu menarik lebih banyak pelaburan serta memberi manfaat kepada ekonomi tempatan,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak cadangan projek tersebut, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Sosio Ekonomi, Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Parang Abai, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.
Dr Zaliha berkata projek itu dijangka merangsang pelaburan, merancakkan aktiviti ekonomi dan mewujudkan kluster ekonomi yang seterusnya dapat memperkukuh sektor pelancongan.
Katanya, selain it, dengan adanya perkhidmatan teksi air dari waterfront ke Kampung Patau-Patau 2 yang merupakan perkampungan unik di atas air, Labuan berpotensi menawarkan pengalaman ekopelancongan yang lebih eksklusif dan autentik.
Inisiatif itu yang dibiayai di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan,Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama-sama persatuan berkaitan pelancongan dan firma swasta.
Aspek utama projek itu adalah bertujuan meningkat tarikan hiburan malam di kawasan tersebut termasuk pasar lambak Labuan/Pasar uptown, denai malam, denai melihat bintang, restoran malam tepi laut dan bistro. – WILAYAHKU.