Berita

150 pelajar tahfiz, asnaf dirai sempena Ramadan

- Diterbit 15 Mac 2025 4:00 PM MYT

KIRA-KIRA 150 pelajar tahfiz dan golongan asnaf dirai dalam satu majlis iftar dan sumbangan hari raya anjuran Yayasan Pekema (Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah.

Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program tersebut merupakan acara tahunan dan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Majlis Seribu Keberkatan dan Kerahmatan Iftar Yayasan Pekema yang dianjurkan ini khusus untuk membolehkan kami menyantuni anak-anak asnaf dan tahfiz yang dikasihi sekalian.

“Pekema telah mengambil pendekatan secara berterusan dengan menganjurkan program Ramadan seumpama ini pada setiap tahun.

“Usaha seperti ini adalah penting bagi mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan ukhuwah sesama kita sesuai dengan tuntutan Islam,” katanya.

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit beban dan memberikan keceriaan menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.

Terdahulu, sumbangan duit raya termasuk beg sekolah diserahkan kepada 150 pelajar tahfiz dan asnaf yang terdiri daripada empat pertubuhan.

Ia melibatkan anak-anak asnaf dari Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya, Maahad Tahfiz Al-Husni, Maahad Tahfiz Miftahul Ulum (Banat) dan Madrasah Quran Darussalam (Mqds) Banat.

Selain itu, Yayasan Pekema turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya sebagai tanda sokongan dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas