Berita

11,500 pek bubur lambuk diagih kepada komuniti Putrajaya

FADLUN (lima dari kiri) turut serta memasak bubur lambuk.
- Diterbit 15 Mac 2025 4:44 PM MYT

SEBANYAK 11,500 pek bubur lambuk diagihkan kepada komuniti sempena Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya.

Acara yang merupakan pengisian tahunan Perbadanan Putrajaya (PPj) tersebut merupakan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

FADLUN (lima dari kiri) turut serta memasak bubur lambuk.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, program tersebut mampu mengeratkan hubungan PPj bersama komuniti setempat, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebanyak 23 buah periuk bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong yang melibatkan seramai 300 orang peserta.

“Bubur lambuk yang siap dimasak diagihkan kepada komuniti setempat, surau-surau di Putrajaya, anggota keselamatan dan pertahanan serta Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara (IKN),” ujarnya.

Program yang bermula seawal pukul 8 pagi itu diketuai oleh Cef Roslan Ab Rahman yang merupakan pemenang Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2023 Kategori Hotel & Restaurant Anjuran Menara Kuala Lumpur.

Terdahulu, program yang diadakan di Kompleks Kejiranan Presint 9 hari ini turut diserikan dengan Jualan Rahmah Madani anjuran MPPWP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas