PUSAT Transformasi Bandar (UTC) Labuan di Pasar Sentral Labuan sememangnya menjadi lokasi penting kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan.
UTC Labuan berkonsepkan penyediaan perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti di dalam satu bangunan. Ia merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan swasta.
Bangunan bernilai RM23 juta itu dibina pada 2015 dengan memanfaatkan kira-kira 100,000 penduduk.
Bukan hanya untuk warga Labuan malah ia turut memberi manfaat masyarakat luar yang berdekatan seperti Menumbok dan Kuala Penyu, Sabah; selain penduduk dari Lawas serta Limbang, Sarawak.
Sebanyak 13 agensi kerajaan ditempatkan di bangunan berkenaan dan sudah pastinya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di Labuan.
Antara agensi kerajaan tersebut adalah Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Klinik Kesihatan, Perbadanan Labuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahkamah Anak Negeri, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmata pusat penjagaan atau Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Kafe UTC.
Maka tidak hairanlah, UTC Labuan menjadi salah satu bangunan terpenting kepada masyarakat setempat mahupun luar dalam mendapatkan perkhidmatan dalam pelbagai urusan.
Dalam pada itu UTC Labuan turut memberikan manfaat kepada lebih 150 peniaga dengan jualan seperti kuih-muih termasuk makanan tradisional selain makanan laut kering serta peralatan memancing, barangan hiasan rumah, pakaian, aksesori dan banyak lagi.
Seorang pengunjung, Manah Abdul Rahim, 60, menyifatkan UTC Labuan memberikan kemudahan yang baik kepada masyarakat khususnya kepada mereka yang berusia dalam berurusan dengan agensi kerajaan di dalam satu bangunan.
“Bagi saya wujudnya UTC ini sangat baik dan dapat menyenangkan kami di Labuan ini kerana tidak perlu untuk terkejar-kejar berurusan dengan jabatan kerajaan kerana semuanya dalam satu bangunan.
“Sebelum adanya UTC ini, kami mengalami kesukaran untuk berurusan kerana terpaksa menghabiskan masa bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dan membayar tempat letak kereta dan sebagainya,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.
Bagi peniaga buah-buahan, Junisah Salleh, 44, pula, UTC Labuan amat memudahkannya berniaga dan dalam masa yang sama menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan kerajaan.
“Saya sebagai peniaga di sini amat bertuah kerana di samping berniaga saya dapat menyelesaikan urusan-urusan rasmi dengan cepat kerana tempat ini amat strategik,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Simsudin Sidek berkata perkhidmatan agensi kerajaan di bawah satu bumbung itu bukan sahaja memberikan manfaat kemudahan malah ia menjadi satu lokasi yang mampu merancakkan ekonomi tempatan khususnya kepada masyarakat setempat.
Katanya bangunan setinggi tiga tingkat dan seluas 1.02 ekar itu bukan sahaja memberikan perkhidmatan kepada pengunjung namun ia turut memberikan peluang kepada penduduk tempatan berniaga untuk meningkatkan pendapatan sara hidup.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab memastikan kemudahan yang ada di bangunan UTC sentiasa terjamin, PL memperuntukkan dana setiap tahun bagi menyelenggara dan membaik pulih kemudahan yang ada seperti kemudahan lif dan sebagainya.
“PL juga kini dalam perancangan untuk memperluaskan lagi kawasan tempat letak kenderaan di sekitar kawasan bangunan UTC ini untuk memastikan ia memberikan kemudahakan kepada masyarakat di sini,” katanya. – WILAYAHKU