Sukan

Piala Esports Malaysia 2025 bermula 15 Mac

- Diterbit 14 Mac 2025 12:38 PM MYT

PERSEKUTUAN Sukan Elektronik Malaysia (MESF) mengumumkan penganjuran Piala Esports Malaysia 2025 yang mempertemukan pasukan terbaik dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang bermula 15 hingga 23 Mac ini.

MESF memaklumkan kejohanan itu diadakan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia.

“Penganjuran ini antara inisiatif memperkasa industri e-sukan tempatan, selain menjadi platform utama pemain profesional dan semi-profesional mempamerkan bakat serta kemahiran mereka di peringkat kompetitif.

“Sebanyak 16 pasukan dengan masing-masing lapan pasukan dari Liga MPL Malaysia dan Liga Akademi MLBB (MAL) akan bersaing dalam format yang kompetitif, sekali gus menjanjikan aksi sengit serta strategi permainan mengagumkan,” katanya.

Selain itu MESF memaklumkan tiga peringkat utama akan dimainkan oleh pasukan bertanding.

“Peringkat kumpulan dari 8 hingga 11 Mac, 16 pasukan akan bertanding secara dalam talian di peringkat kumpulan dengan format Round-Robin BO3.

“Peringkat Play-In dari 14 hingga 16 Mac, lapan pasukan yang layak akan ke peringkat play-in dengan format double-elimination,” katanya.

Sementara peringkat akhir iaitu dari 22 hingga 23 Mac menyaksikan aksi kemuncak kejohanan ini akan diadakan di Pavilion Exhibition Centre, Bukit Jalil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas