Berita

25 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan tiba di Bukit Kayu Hitam semalam

PDRM's logo (photo for archive ) AZHAR MAHFOF/The Star
- Diterbit 13 Mac 2025 12:30 PM MYT

SERAMAI 25 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar selamat tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ke semua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu proses siasatan lanjut.

Menurut kenyataan media Kementerian Luar,
mereka adalah sebahagian daripada warga asing yang telah diselamatkan pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras sindiket penipuan dalam talian.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok berjaya memudah cara penghantaran pulang mangsa sindiket.

“Kedutaan Besar Malaysia di Yangon telah melakukan lawatan konsular ke Myawaddy bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia yang terlibat sebelum mereka diserahkan kepada pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

“Pegawai Kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand di sempadan Thailand di Mae Sot, Wilayah Tak, Thailand untuk menguruskan kepulangan mereka melalui jalan darat,” ujar kenyataan itu.

Bantuan konsular yang menyeluruh telah diberikan kedua-dua Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Ia merangkumi menghubungi waris, mengeluarkan dokumen perjalanan sementara, mengatur pengangkutan, menyediakan barangan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka, serta mengiringi mangsa sepanjang perjalanan mereka selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak, Thailand ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Proses penghantaran pulang ini adalah kesinambungan kepada proses yang pernah dilakukan bagi 15 orang rakyat Malaysia yang dibawa pulang oleh Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok pada 24 Februari lalu.
Kejayaan proses penghantaran pulang kali turut disumbangkan dengan kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Kementerian Luar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas bantuan mereka dalam menerima dan mempercepatkan proses penghantaran pulang 25 orang warganegara Malaysia tersebut.

“Kementerian Luar kekal komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara dan akan sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular melalui Perwakilan diplomatiknya apabila diperlukan,” ujar kenyataan itu lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas