DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah melakukan tinjauan ke Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).
Lawatan itu diadakan susulan aduan dan maklum balas diterima mengenai susunan gerai ‘back-to-back’ yang dilaksanakan di kawasan bazar.
Dalam tinjauan berkenaan, Maimunah turut meneliti aspek pengurusan bazar, keselamatan pengunjung, serta keselesaan peniaga bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang musim perayaan ini.
Maimunah kemudian diberikan taklimat oleh pegawai bertugas sebelum meluangkan masa meninjau bazar dan berinteraksi bersama peniaga.
Beliau juga menilai keberkesanan susun atur gerai serta aspek kawalan keselamatan dan keadaan lalu lintas di sekitar kawasan bazar bagi memastikan keselesaan semua pihak.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited untuk terus mempertingkatkan pengurusan bazar agar suasana perniagaan lebih teratur serta memberikan pengalaman membeli-belah yang selesa dan selamat buat warga kota.
Turut hadir pada sesi tinjauan itu ialah Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL Ismadi Sakirin dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman.-WILAYAHKU