Berita

Kerajaan kekal keputusan beku kelulusan kuota pekerja asing

- Diterbit 10 Mac 2025 3:40 PM MYT

KERAJAAN mengekalkan keputusan pada 18 Mac tahun lalu untuk membekukan kelulusan kuota pekerja asing baharu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, ia bagi mendukung dasar menetapkan penggajian pekerja asing yang tidak boleh melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara menjelang tahun ini.

“Keputusan ini juga adalah selari dengan prinsip untuk memberikan keutamaan kepada penggajian pekerja tempatan dalam pasaran buruh sebelum kekosongan ditawarkan kepada pekerja asing,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk C Sivaraj mengenai pelan strategik kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor kritikal.

Beliau memberitahu, kerajaan secara berterusan merangka dan melaksanakan pelbagai perancangan strategik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dengan gaji yang berpatutan dalam pasaran buruh negara.

Malah katanya, kerajaan laksanakan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat (MTLM) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir.

Selain itu jelasnya, kerajaan menggalakkan industri supaya beralih kepada penggunaan automasi dan teknologi canggih yang akan meningkatkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.

“Dalam masa sama, kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah akan turut dikurangkan secara berperingkat.

“Kita juga mengutamakan exit policy penggajian pekerja asing dengan menyediakan pelan latihan kemahiran kepada pekerja tempatan, memberi keutamaan kepada penggunaan mekanisme Industrialised Building System (IBS) dalam sektor pembinaan, peralihan kepada intensif mekanisasi dan automasi, restoran berkonsepkan layan diri dan
sebagainya,” katanya.

Selaras dengan itu juga jelas beliau, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk warga tempatan diperkasakan bagi melahirkan individu berkemahiran tinggi selaras dengan hasrat negara untuk beralih daripada industri berintensif buruh kepada high-end industry.

Bagi meningkatkan kemahiran pekerja tempatan jelasnya, pembiayaan latihan diwujudkan di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) melalui caruman levi majikan untuk melatih semula pekerja.

“Usaha ini juga dilakukan dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 melalui Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 yang berkuatkuasa mulai 1 Februari lalu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas