KENANGA Wholesale City (KWC) Fashion Mall kini melangkah ke hadapan dalam usaha memperkasa sukan negara dengan menawarkan latihan dan peralatan pickleball secara percuma kepada pelajar sekolah rendah di seluruh negara.
Menurut Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini adalah sebahagian daripada usaha memperkenalkan sukan pickleball kepada generasi muda dan menggalakkan gaya hidup aktif.
“Program ini membolehkan pelajar menggunakan gelanggang, mengikuti latihan, serta meminjam peralatan seperti padel dan bola pickleball tanpa sebarang bayaran.
“Tawaran ini tersedia setiap hari bekerja dari pukul 8 pagi hingga 4 petang di Stadium Pickleball KWC Fashion Mall,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, KBS menyambut baik inisiatif yang diambil oleh KWC Fashion Mall dan E-Motion Sdn. Bhd. dalam menyediakan kemudahan ini kepada pelajar sekolah.
“Ini selari dengan usaha kementerian dalam merakyatkan fasiliti sukan dan membudayakan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Kata kenyataan itu, usaha ini juga seiring dengan matlamat Visi Sukan Negara 2030, yang mensasarkan Malaysia sebagai sebuah Negara Bersukan (Sporting Nation) menjelang tahun 2030. Sejak Oktober 2023, KBS telah giat memperjuangkan agenda ini, termasuk membenarkan sekolah-sekolah mengadakan Hari Sukan Sekolah di Stadium Nasional Bukit Jalil secara percuma tertakluk kepada syarat tertentu.
“Kami berharap lebih banyak syarikat swasta dan pihak berkepentingan lain dapat tampil untuk melaksanakan program CSR berkaitan sukan. Pembangunan sukan negara memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat akses kepada kemudahan sukan,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif ini, orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat KBS di talian 03-8871 3100 atau e-mel [email protected]