Berita

PULSE Group edar 5,000 bubur lambuk buat komuniti Putrajaya

FADLUN Mak Ujud (tiga dari kanan) dan Abdul Rahim Md Junoh (dua dari kiri) ketika memasak bubur lambuk di PICC, Putrajaya.
- Diterbit 10 Mac 2025 1:50 PM MYT

SEBANYAK 5,000 bungkus bubur lambuk diberikan secara pandu lalu kepada komuniti Putrajaya bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC) baru-baru ini.

Pengagihan bubur lambuk di Lobi Aras Mezzanine, PICC itu ‘licin’ dalam masa dua jam.

Menurut Ketua Eksekutif Kumpulan Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (PULSE Group), Abdul Rahim Md Junoh, tahun ini pihaknya meningkatkan jumlah edaran bubur lambuk sebanyak 5,000 bungkus.

Katanya, ini berbanding tahun lepas iaitu 3,000 bungkus bersempena meraikan tahun ke-10 agihan selain daripada sambutan yang menggalakkan serta maklum balas positif daripada penduduk warga Putrajaya yang menikmati juadah tersebut.

“Program pengagihan bubur lambuk ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat PULSE Group dan anak syarikat iaitu Convention & Exhibition (Putrajaya) Sdn Bhd (Co-X) yang bertujuan untuk mendekati masyarakat dan berkongsi kemeriahan bulan yang mulia ini.

“Penambahan kuantiti agihan bubur lambuk pada tahun ini adalah wajar untuk lebih ramai lagi warga penduduk dan komuniti Putrajaya dapat merasai kelebihan resipi bubur lambuk kami. Ia adalah menu istimewa di bulan Ramadan yang disediakan khas oleh barisan cef-cef kami yang berpengalaman.

“Program sebegini bukan sahaja memberi manfaat dalam menjalankan ibadah bersedekah di bulan Ramadan, malah dapat menitipkan semangat kerjasama serta jalinan silaturahim antara kakitangan dan warga Putrajaya,” katanya semasa Program ‘Drive-Thru’ Bubur Lambuk Percuma.

Turut hadir menyempurnakan majlis, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.

FADLUN Mak Ujud mengagihkan bubur lambuk secara pandu lalu di PICC, Putrajaya.

Menurutnya, resipi bubur lambuk PICC ini masih dikekalkan seperti tahun sebelumnya dan berikutan daripada penambahan edaran kuantiti pada tahun ini, jumlah bahan yang disediakan adalah sebanyak
200 kilogram (kg) beras dan lebih 80kg daging digunakan yang dimasak di dalam lapan periuk.

“Seperti semua sedia maklum, saban tahun, menjadi kebiasaan PICC menjadi lokasi berbuka puasa dengan menawarkan bufet Ramadan Cita Rasa Klasik yang mengetengahkan sajian Melayu klasik.

“Justeru kami ingin menjemput orang ramai untuk menikmati juadah berbuka puasa dengan lebih daripada 120 jenis menu yang bermula pada 2 hingga 28 Mac ini dengan tawaran harga promosi dilanjutkan sehingga 14 Mac yang berharga RM98 untuk dewasa dan RM49 bagi kanak-kanak,” katanya.

SEORANG pengunjung menerima bubur lambuk yang diedarkan Kumpulan Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (PULSE Group).

Dalam masa sama beliau berkata, bersempena dengan Kepengerusian ASEAN di Malaysia, pihak PICC dengan kerjasama Putrajaya Holdings tidak melepaskan peluang untuk turut terlibat sama dengan penganjuran Putrajaya Ramadan ASEAN Food Festival.

“Festival ini akan berlangsung serentak melibatkan tiga lokasi lain iaitu di Hotel Pulse Grande, Double-Tree by Hilton Putrajaya Lakeside dan Hotel The Everly Putrajaya sebagai inisiatif menyatukan pelbagai juadah tradisional dan kontemporari dari negara-negara ASEAN dalam hidangan bufet Ramadan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas