ASET wakaf bernilai lebih RM1.3 trilion masih belum diterokai sepenuhnya, sekali gus membuka ruang besar untuk memperkasakan pembangunan sosioekonomi negara, khususnya umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata jumlah tersebut merupakan anggaran nilai aset wakaf yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Julai 2023.
“Namun, nilai sebenar aset wakaf di Malaysia belum dapat ditentukan kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaku pemegang amanah tunggal wakaf di negara ini,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, statistik yang direkodkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada 2024 menunjukkan terdapat 25,046 hektar tanah wakaf di seluruh negara, di mana 83 peratus atau 20,782 hektar telah dimanfaatkan, manakala baki 17 peratus atau 4,264 hektar masih belum digunakan.
“Data ini jelas membuktikan bahawa tanah wakaf telah berjaya dimanfaatkan oleh Majlis Agama Islam Negeri -Negeri (MAIN) bagi tujuan kebajikan, ekonomi, pendidikan, perumahan, dan kesihatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata Kerajaan MADANI akan terus berganding bahu dengan MAIN serta agensi berkaitan dalam memastikan pembangunan wakaf dapat diperkasakan.
“Antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuk mempertimbangkan projek pembangunan tanah wakaf baharu di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) merangkumi sektor ekonomi, kesihatan, dan perumahan.
“Kerajaan juga mahu meneroka sumber pendanaan baharu seperti Dana Dagangan Bursa (ETF) bercirikan wakaf pertama di dunia, yang telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 10 Disember 2024 hasil kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Eq8 Capital Sdn. Bhd. serta memperkenalkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030, yang akan menjadi rujukan dasar pembangunan wakaf di Malaysia dengan kerjasama MAIN dan agensi kerajaan berkaitan.
“Kerajaan juga menetapkan garis panduan dan manual tadbir urus wakaf untuk semua MAIN meliputi perundangan, perakaunan, kutipan serta agihan manfaat wakaf tunai serta ,elaksanakan kolaborasi strategik dengan jabatan kerajaan, institusi pendidikan, badan korporat dan sektor swasta bagi memperluaskan kesedaran awam mengenai kepentingan wakaf,” katanya.
Mohd Na’im berkata kerajaan turut menumpukan perhatian kepada inisiatif Wakaf MADANI, sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, yang melibatkan penglibatan dana wakaf sektor korporat sebagai sumber pembiayaan baharu.
“Kerajaan komited untuk memastikan aset wakaf dimanfaatkan sepenuhnya sebagai instrumen pemerkasaan ekonomi dan pembangunan umat Islam di negara ini,” katanya. – WILAYAHKU