Berita

Sektor pelancongan kesihatan dijangka catat hasil RM2.5 bilion

- Diterbit 6 Mac 2025 11:00 AM MYT

SEKTOR pelancongan kesihatan dijangka mencatatkan hasil sebanyak RM2.5 bilion untuk tahun ini berdasarkan trend meningkat yang direkodkan saban tahun.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), sejak 2011, industri itu mencatatkan pertumbuhan ketara dengan hasil meningkat daripada RM0.5 bilion kepada RM1.7 bilion pada 2019.

Walau bagaimanapun katanya, pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada sektor tersebut menyebabkan hasil menurun kepada RM0.8 bilion pada 2020 dan RM0.6 bilion (2021).

“Namun daya tahan industri yang didorong oleh strategi pemulihan yang efektif telah membawa kepada pemulihan kukuh, dengan hasil melonjak kepada RM1.3 bilion
pada 2022 dan terus meningkat kepada RM2.25 bilion pada 2023.

“Ia kemudiannya meningkat RM2.4 bilion pada 2024 dan setakat Januari tahun ini dengan jangkaan hasil akan menjangkau RM2.5 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

KKM menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai impak ekonomi daripada pelancongan kesihatan.

KKM memberitahu, pemulihan sektor tersebut bukan sahaja menunjukkan peningkatan jumlah pelancong perubatan tetapi juga memberi kesan pengganda yang lebih meluas ke atas sektor berkaitan seperti perhotelan, pengangkutan, insurans dan perkhidmatan kesejahteraan serta penjagaan lanjutan.

Selain menjana pendapatan langsung kepada sektor perubatan katanya, industri pelancongan kesihatan Malaysia turut memberikan impak besar kepada ekosistem ekonomi negara secara menyeluruh.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pelancong perubatan tidak hanya tertumpu kepada hospital dan fasiliti kesihatan, tetapi juga memberi manfaat kepada sektor sokongan seperti farmaseutikal, teknologi perubatan, perkhidmatan pemulihan serta sektor pelancongan dan hospitaliti.

“Sebagai contoh, ramai pesakit yang menjalani rawatan jangka panjang turut membawa ahli keluarga, sekali gus menyumbang kepada sektor hospitaliti, restoran dan peruncitan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas