SERAMAI 126 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dari sindiket penipuan pekerjaan di Laos, hasil kerjasama rapat antara Kementerian Luar Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan pihak berkuasa tempatan Laos.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mendedahkan bahawa selain 126 individu yang telah dibawa pulang, empat lagi dalam proses dihantar pulang, manakala 48 orang masih dijejaki.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket scam di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas (GTSEZ), Laos sebanyak 178 orang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Wisma Putra, sejurus laporan diterima, Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane akan segera berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan keberadaan mangsa dan berunding dengan majikan bagi membebaskan mereka.
“Selepas dibebaskan, pegawai konsular akan bekerjasama dengan polis dan imigresen Laos untuk memudah cara penghantaran pulang mereka ke Malaysia.
“Selain itu, bantuan konsular turut diberikan, termasuk pengeluaran dokumen perjalanan bagi mereka yang kehilangan pasport serta penyaluran wang daripada waris untuk membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air,” katanya.
Menurut Wisma Putra, Kerajaan Malaysia tidak dapat mengenal pasti operasi syarikat penipuan di GTSEZ kerana zon tersebut berada di bawah seliaan Kerajaan Laos.
“Malaysia tidak boleh campur tangan dalam urusan perundangan negara asing, tetapi akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Laos untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa.
“Sebarang tindakan yang diambil oleh Kedutaan Malaysia di Vientiane perlu selaras dengan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963,” jelasnya.
Wisma Putra turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan kes ini dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Laos untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket scam dapat diselamatkan.-WILAYAHKU