PENGOPERASIAN semula Lestari Niaga MADANI ‘De’ Tambing Portview’ yang dahulunya dikenali sebagai Siswazah Corner bakal menjadi tarikan baharu sebagai syurga makanan kepada pengunjung.
Menurut Pengurus premis, Mohamad Sobree Ismail, lokasi baharu itu memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memperkenalkan produk makanan dengan lebih meluas.
Katanya rata-rata peniaga yang terpilih untuk menjalankan perniagaan menyambut baik pengoperasian semula lokasi itu yang disifatkan sebagai ruang untuk mereka mengembangkan perniagaan khususnya produk makanan.
“Ini menjadi satu titik permulaan kepada kami khususnya peniaga untuk meningkatkan pendapatan dan mengetengahkan produk makanan masing-masing.
“Lokasi ini dahulunya sangat daif dengan kemudahan yang terhad. Usaha menaik taraf kawasan perniagaan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan membantu golongan peniaga kecil,” katanya kepada Wilayahku.
Jelas Mohamad Sobree selain memberikan peluang kepada peniaga kecil, pengoperasian semula laman Lestari Niaga MADANI ini memberikan impak positif dengan suasana persekitaran lebih meriah.
“Sesuai dengan lokasinya yang berdekatan dengan laut, sudah tentu pemandangannya indah di samping kita dapat melihat aktiviti kapal-kapal di sekitar perairan Labuan. Ia menyajikan suasana damai kepada pengunjung.
“Lokasinya juga dekat dengan terminal, pusat bandar serta mempunyai fasiliti yang cukup baik,” katanya.
Beliau berkata, lokasi itu menempatkan seramai 10 peniaga dengan mengetengahkan konsep medan selera serta tujuh kios yang menawarkan aneka juadah.
Terdahulu, Perbadanan Labuan (PL) menjelaskan pelaksanaan menaik taraf bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Siswazah Corner itu menelan peruntukan RM1.2 juta dan siap sepenuhnya pada pertengahan November lalu.
Pelaksanaan naik taraf itu mengetengahkan wajah baharu yang lebih selesa dengan kelengkapan asas yang lebih baik antaranya struktur bangunan berbumbung.
Program Lestari Niaga@Labuan adalah inisiatif Kerajaan MADANI di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi menaik taraf dan mengindahkan fasiliti gerai-gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di sekitar pulau ini untuk menjadi lebih kondusif dan selesa. – WILAYAHKU