Berita

Raih RM1,500 hingga RM10,000 bersih

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui inisiatif PUJI@Wilayah melancarkan Community’s Barbershop yang merupakan program keusahawanan bagi memperkasa golongan berpendapatan rendah.
- Diterbit 6 Mac 2025 12:41 PM MYT

DALAM usaha mengangkat martabat warga Wilayah Persekutuan, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah berjaya mengumpulkan kira-kira 1,821 peserta program pendayaupayaan dan penjanaan pendapatan di bawah Upaya@PUJI yang mahu mengubah kehidupan sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menurut JWP, keutamaan peserta adalah dari dalam kalangan mereka yang berdaftar dengan eKasih (miskin dan miskin tegar) serta golongan rentan seperti suri rumah, ibu tunggal dan sebagainya.

“Program-program yang dilaksanakan adalah kolaborasi strategik JWP bersama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, syarikat swasta dan sebagainya dalam usaha meningkatkan kemahiran diri peserta seterusnya membantu mereka menjana pendapatan sama ada melalui aktiviti perniagaan, keusahawanan atau penempatan kerjaya,” katanya kepada Wilayahku.

Katanya, antara jenis-jenis latihan pendayaupayaan yang dilaksanakan setakat ini adalah seperti penyediaan makanan, jahitan dan sulaman, pendawaian, asuhan kanak-kanak, seni kreatif dan dandanan rambut.

“Modul latihan ini akan diperluaskan pada masa hadapan bergantung kepada minat peserta dan potensi perniagaan atau pasaran kerja yang ditawarkan dalam bidang berkenaan,” katanya.

Menurut JWP, sehingga kini, kira-kira 391 peserta berjaya melengkapkan pelbagai jenis program dan latihan di bawah Upaya@PUJI dan mereka bukan sahaja berjaya menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan malah turut menerima tawaran pekerjaan dalam bidang seni kreatif, dandanan rambut, perkhidmatan pendawaian dan sebagainya.

“Hasil pendapatan bersih mereka antara RM1,500 hingga RM10,000 bergantung kepada kesungguhan mereka menjalankan perniagaan,” katanya.

Menurut JWP, pihaknya bersama pelbagai rakan strategik sentiasa memantau perkembangan peserta dari semasa ke semasa serta menyediakan khidmat mentor bagi memastikan mereka bermotivasi dan kekal sehingga tamat program.

“Bagi peserta-peserta yang tidak dapat meneruskan program kerana masalah kesihatan dan faktor umur, mereka akan diberikan keutamaan bagi menerima bantuan tunai yang bersesuaian daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan sebagainya.

“Bagi peserta lain, mereka diberikan peluang untuk meneroka bidang lain yang lebih sesuai dengan minat dan keadaan semasa mereka,” katanya.

Tambahnya, program PUJI terbukti melahirkan beberapa usahawan kecil yang berjaya menjana pendapatan secara berterusan.

“PUJI juga melalui kolaborasi dengan pelbagai agensi telah berjaya menempatkan peserta ke dalam pasaran kerja mengikut jenis latihan pendayaupayaan yang disertainya.

“PUJI bukan sahaja membantu kerajaan mengenal pasti golongan sasaran bagi tujuan penyaluran bantuan, malah ia merupakan strategi jangka panjang untuk membantu peserta memperoleh pendapatan secara berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan seterusnya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan tegar,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas