CKB

Memahami miskin bandar

- Gambar hiasan
- Diterbit 8 Mac 2025 2:30 PM MYT
Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
KELUARAN akhbar 28 Februari – 6 Mac 2025
MISKIN bandar adalah istilah yang merujuk kepada keadaan ketua isi rumah di bandar-bandar besar yang tidak mampu menyediakan biaya makanan, tempat tinggal dan pendidikan kepada ahli keluarga. Tiga perkara itu adalah keperluan asas kehidupan manusia di mana-mana sahaja.

Tiga keperluan itu tidak boleh dielakkan kerana sifatnya yang amat asas dalam menjalani kehidupan. Itu bermakna ketua isi rumah yang tidak mampu menyediakan keperluan berkenaan tergolong sebagai miskin bandar.

Miskin bandar yang sebenarnya tidak diukur dengan pendapatan ketua isi rumah secara angka-angkanya. Sekalipun banyak yang menggunakan angka untuk mengukur miskin bandar, tetapi yang lebih tepat adalah ketidakmampuan untuk menyediakan tiga perkara terbabit.

Kenapa ada miskin bandar tetapi tidak ada miskin kampung? Sebabnya kedua-dua persekitaran sosioekonomi yang berbeza. Susah-susah di kampung adalah senang-senang di bandar. Maknanya keadaan yang dianggap susah di kampung adalah suatu yang senang di bandar.

Perkara asas seperti makanan, kediaman dan pendidikan memerlukan belanja yang berbeza antara kampung dan bandar. Sebab itulah ada istilah khusus yang merujuk keadaan ketidakcukupan hal-hal asas itu yang disebut miskin bandar.

Miskin bandar adalah satu keadaan yang berlaku kepada golongan yang terperangkap dengan belanja sara hidup tinggi di bandar besar. Keadaan itu menjadikan golongan berkenaan hilang upaya untuk menyediakan keperluan asas kepada keluarga.

Biasanya pelbagai pihak menggunakan angka-angka untuk mengelaskan golongan warga kota dengan angka pendapatan tertentu. Misalnya dengan pendapatan isi rumah sekian adalah miskin bandar.

Kemudian sekiranya didapati pendapatan lebih RM500 sebulan daripada angka yang ditetapkan, maka sudah terkeluar daripada pengelasan itu.

Di atas kertas dan berpandukan angka-angka, lebihan pendapatan RM500 itu boleh sahaja menjadikan keluarga miskin bandar terkeluar daripada status mereka. Walau bagaimanapun semua itu bukanlah gambaran yang sebenarnya tentang miskin bandar. Lagi pula RM500 sebulan tidak mengubah apa-apa dalam kehidupan.

Disebabkan itu ada juga angka pendapatan ketua isi rumah sudah terkeluar daripada miskin bandar.

Mungkin sudah tergolong dalam B40. Namun keadaan yang sebenar masih miskin bandar. Misalnya angka pendapatan itu tidak cukup disebabkan tanggungan yang banyak – tiga orang anak berada di institusi pengajian tinggi (IPT) dan biaya pengajian peringkat menengah.

Ada yang terpaksa menanggung bayaran ansuran kereta. Mungkin ada yang berkata, kenapa membeli kereta kalau tidak mampu? Sebenarnya kereta adalah pengangkutan sama ada untuk ke tempat kerja atau menjaja secara kecil-kecilan. Tidak semua memiliki kereta untuk bergaya. Maka kereta tidak boleh dijadikan asas untuk mengukur keluarga berkenaan bukan lagi miskin bandar.

Ketika bulan Ramadan, belanja menjadi lebih tinggi berbanding bulan yang lain. Sekalipun tidak makan pagi dan tengah hari, tetapi sudah menjadi tradisi berbelanja lebih untuk berbuka puasa.

Padahal berbuka puasa itu adalah makan malam pada bulan-bulan yang lain. Walau bagaimanapun keadaan persekitaran membentuk satu amalan tidak rasmi kepada masyarakat bahawa berbuka puasa tidak sama dengan makan malam.

Peningkatan belanja pada bulan Ramadan memberikan kesan yang besar kepada golongan miskin bandar. Kepada yang mampu atau terlebih mampu amalan sosial itu tidak memberikan kesan. Mereka tetap boleh berbelanja sekalipun perbelanjaan pada bulan Ramadan jauh lebih tinggi berbanding biasa.

Amalan itu pula menjadi ekosistem kepada usahawan kecil dan itu dibuktikan dengan wujudnya banyak bazar Ramadan. Sebenarnya menjalani ibadat puasa tidak memerlukan wujudnya bazar Ramadan.

Pengaruh sosial dan ekonomi kepada persekitaran hidup di bandar-bandar besar lebih banyak mempengaruhi cara berfikir dan berbelanja golongan miskin bandar. Mereka tidak seperti golongan miskin di kampung yang tidak dilingkari oleh satu persekitaran yang mewah dalam berbelanja.

Pihak kerajaan sudah melaksanakan pelbagai pendekatan misalnya mengurangkan belanja tempat kediaman dengan wujudnya Program Perumahan Rakyat (PPR) atau Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Belanja menyewa amat rendah berbanding di tempat biasa.

Belanja tempat kediaman mengambil sebahagian besar pendapatan ketua isi rumah di Kuala Lumpur. Terlalu sukar untuk mendapatkan pangsapuri tiga bilik dengan kadar sewa bawah RM1,500. Itupun hanya pangsapuri yang biasa sahaja. Kalau yang lebih banyak kemudahan dan keselamatan lebih tinggi lagi.

Bayangkan kalau tidak ada PPR atau PPRT. Belanja menyewa kediaman sahaja mengambil hampir separuh daripada pendapatan keseluruhan golongan miskin bandar. Itu belum lagi keperluan penting lain seperti makanan dan pendidikan. Maka PPR dan PPRT dianggap pendekatan realistik kerajaan meringankan beban golongan miskin bandar.

Bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga banyak menyalurkan bantuan kepada keluarga yang dikelaskan sebagai miskin bandar. Pelbagai bantuan yang boleh mengurangkan beban keluarga berkenaan dalam meneruskan kehidupan di ibu kota.

Pada masa yang sama ketua isi rumah pula perlu berusaha mengeluarkan keluarga daripada lingkaran miskin bandar dengan tidak terpengaruh dengan persekitaran sosial di bandar. Banyak juga yang dilihat sebagai keperluan sebenarnya adalah gaya hidup.

Dalam hal yang seperti itu golongan miskin bandar mesti mengubah pola fikir apabila berdepan dengan fenomena menjurus gaya hidup. Ketua isi rumah perlu menguruskan kewangan keluarga dengan memberikan tumpuan kepada keperluan makanan, tempat kediaman dan pendidikan. Itu adalah keperluan hidup.

Mereka seharusnya membezakan antara gaya hidup dengan keperluan hidup. Biarlah ketinggalan dalam gaya hidup tetapi alihkan belanja itu kepada keperluan pendidikan misalnya. Tindakan itu menjanjikan pulangan dalam jangka panjang berbanding gaya hidup yang bersifat sementara.

Di Kuala Lumpur ini kalau tersilap langkah dan hanyut dalam gaya hidup, golongan M40 atau T20 pun boleh menjadi miskin bandar. Cara sesetengah orang kaya berbelanja untuk bergaya memberikan kesan buruk kepada pengurusan kewangan keluarga. Maka jangan terkejut kalau golongan yang dilihat ‘berada’ atau ‘elit’ itu juga yang tergolong sebagai miskin bandar.

Golongan miskin bandar pula mempunyai banyak pilihan untuk mengeluarkan diri dan keluarga daripada kemiskinan dengan kembali ke kampung halaman kepada yang ada kampung. Fikirlah, banyak tanah yang terbiar tetapi hampir semua bahan makanan termasuk bawang terpaksa diimport dari luar.

Banyak juga yang tidak mempunyai tanah di kampung tetapi berusaha dengan menyewa untuk dijadikan tapak pertanian. Sebenarnya tidak semua orang perlu bertahan dalam ketidakcukupan di Kuala Lumpur kalau ada padang hijau yang lain – salah satunya di kampung-kampung. Kata-kata ‘balik kampung tanam jagung’ itu sebenarnya sangat baik untuk keluar daripada lingkaran miskin bandar.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas