SEBANYAK tujuh universiti awam (UA) kini menerajui bidang kecerdasan buatan (AI) melalui penubuhan fakulti mahupun menawarkan program-program serta penyelidikan berkaitan bidang berkenaan.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di negara ini.
Malah katanya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi universiti pertama dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang mempelopori bidang AI dengan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX).
“Penubuhan fakulti ini telah diluluskan di peringkat Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada Oktober 2024 di mana ia akan mula menerima pelajar baharu bagi kemasukan tahun 2025/2026 yang dijadualkan pada Oktober ini.
“Kementerian turut komited memastikan semua universiti awam bersedia dengan teknologi baharu AI melalui menyemak semula kurikulum berkaitan bagi memperkenalkan kursus baharu atau mengintegrasikan modul AI ke dalam kursus sedia ada,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
KPT menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai perkembangan arahan kepada 20 UA untuk menubuhkan Fakulti AI.
Kementerian itu menambah, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan pelajar dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan serta mempersiapkan mereka untuk permintaan semakin meningkat terhadap bakat AI dalam pelbagai industri.
Jelasnya, pengumuman peruntukan sebanyak RM50 juta bagi pendidikan berkaitan AI juga diperluaskan ke semua universiti penyelidikan semasa Belanjawan 2025.
Katanya, ia merupakan antara perancangan rapi KPT dengan memberi fokus dalam bidang AI melibatkan Universiti Malaya (UM) yang akan menumpukan teknologi AI bidang perubatan bagi menangkis penyakit maut seperti kanser.
Universiti Putra Malaysia (UPM) pula katanya, akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi pelaksanaan AI komputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber.
“Universiti Sains Malaysia (USM) akan melaksanakan AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hub semikonduktor dunia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerajui AI alih bahasa dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya.
KPT menambah, terdapat juga program-program berkaitan AI yang telah dan akan ditawarkan di universiti awam, antaranya UM dengan Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan), Sarjana Muda Sains Komputer (Sains Data), Sarjana Kepintaran Buatan dan Sarjana Sains Data.
UKM pula katanya, menawarkan program Sarjana Sains Komputer (Kecerdasan Buatan) selain Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Sarjana Sains (Sistem Pintar), Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Maklumat).
“Di USM, mereka menawarkan program Sarjana Sains (Sains Data dan Analitik) serta Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Perkomputeran Cerdas),” katanya. – WILAYAHKU