JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) menegaskan bahawa setiap projek perumahan baharu bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi turut dilengkapi dengan langkah keselamatan dan kesejahteraan sosial bagi memastikan kualiti hidup penduduk lebih baik.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, setiap pembangunan kini diwajibkan menyediakan kemudahan keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) selain menitikberatkan elemen kesejahteraan sosial seperti ruang hijau, kemudahan sukan, pusat pendidikan, serta ruang inklusif untuk warga emas dan kanak-kanak.
“Kita mahu Wilayah Persekutuan menjadi bandar CHASE (Clean, Healthy, Advanced, Safe, Eco-Friendly) yang bukan sahaja moden tetapi juga mesra penduduk,” katanya dalam jawapan bertulis di parlimen.
Beliau turut menegaskan bahawa pemaju diwajibkan memenuhi syarat-syarat Perintah Pembangunan (DO) dan Kebenaran Merancang Pendirian Bangunan (KMPB) yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.-WILAYAHKU