MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap peniaga di Bazar Ramadan adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan dan bukan bertujuan menindas mana-mana pihak.
Katanya, DBKL sentiasa berusaha membantu peniaga kecil dengan menyediakan tapak perniagaan yang sah, sistematik dan bersih.
“Kita bukan sengaja mahu menyusahkan sesiapa. Sejak awal lagi, DBKL sudah memberi peluang kepada peniaga untuk memohon lesen di 40 lokasi yang ditetapkan. Kami mahu membantu, tetapi peniaga juga perlu patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan,” katanya kepada media selepas melancarkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri DBKL 2025 di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah, Perbankan Komersial Bank Muamalat, Datuk Mohamed Nazir Mohamad.
Mengulas mengenai isu tular berkaitan tindakan DBKL menyita barang peniaga di Bazar Ramadan sekitar Taman Wilayah di Selayang serta kawasan sekutar Masjid Jamek, Kuala Lumpur, Zaliha menegaskan tindakan hanya diambil terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen dan berniaga di lokasi yang tidak diwartakan.
“Orang ramai menyokong tindakan ini kerana kita perlu berlaku adil kepada peniaga yang sudah mendapatkan lesen secara sah.
“Selain itu, kita hanya mahu memastikan persekitaran perniagaan yang bersih, selamat dan mematuhi undang-undang,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan pemantauan keselamatan makanan dijalankan secara ketat, termasuk mewajibkan peniaga mendapatkan suntikan tifoid bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada pengunjung.
Sementara itu, DBKL dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad akan menganjurkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri di 42 lokasi sekitar Kuala Lumpur, bermula 2 hingga 30 Mac 2025.
Sebagai langkah membantu peniaga, DBKL menetapkan kadar sewa berpatutan sebanyak RM500, manakala Bank Muamalat turut menyumbang keperluan perniagaan seperti khemah bersaiz 8×8, dua apron dan dua topi secara percuma.
Selain itu, dalam usaha menggalakkan transaksi tanpa tunai, Bank Muamalat turut memperkenalkan Terminal DuitNow QR Soundbox 3-dalam-1, yang membolehkan pembayaran dilakukan dengan lebih cepat dan mudah di bazar Ramadan.-WILAYAHKU