Berita

‘Perang terhadap gula’ terus diperkukuh, sasar makanan viral tinggi gula

Gambar hiasan
- Diterbit 4 Mac 2025 10:30 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) terus memperkukuh kempen ‘War on Sugar’ dalam usaha mengurangkan pengambilan gula berlebihan di kalangan rakyat Malaysia, termasuk menangani trend penjualan makanan viral yang tinggi kandungan gula.

Menurut KKM, kempen ini telah dilancarkan secara rasmi pada 8 September 2024, cabaran besar masih wujud apabila makanan dan minuman manis terus menjadi pilihan utama pengguna, meskipun kadar obesiti rakyat Malaysia meningkat kepada 54.5 peratus berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023.

“Kempen ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030, yang merangkumi 38 inisiatif dan 65 aktiviti melibatkan pelbagai pihak termasuk kementerian, NGO, serta sektor industri,” katanya.

KKM berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-JEMPOL) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menurut KKM, setakat Januari 2025, sebanyak 30.7 peratus daripada keseluruhan aktiviti dalam pelan tersebut telah dilaksanakan, dan usaha memperluas kesedaran serta mengawal trend makanan manis akan terus diperkukuh sepanjang tahun ini.

“Bagi memastikan keberkesanan dapat dilihat dalam jangka masa pendek, KKM menumpukan kepada tiga inisiatif utama iaitu melalui penggunaan platform media baharu dan konvensional, penglibatan kepenggunaan serta kolaborasi ‘public-private partnership’ (PPP) dalam Fasa Pertama ini iaitu tahun 2025-2026,” katanya.

Tegas KKM, usaha ini bukan sekadar kempen biasa tetapi satu gerakan menyeluruh untuk membentuk tabiat pemakanan lebih sihat dalam kalangan rakyat.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas