Berita

Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 berkuat kuasa 3 Mac

Foto: Youtube Parlimen Malaysia
- Diterbit 3 Mac 2025 1:45 PM MYT

KERAJAAN secara rasmi mengumumkan bahawa Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 [Akta 676] akan mula berkuat kuasa pada 3 Mac 2025.

Akta yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai 2024 itu
bertujuan untuk memperkukuh perlindungan dan hak saksi
kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, melalui pindaan tersebut, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan
substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.

“Sehubungan dengan itu, beberapa akta berkaitan yang turut dipinda
bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan,
termasuk Akta Keterangan 1950 [Akta 56]: Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap
Kanak-Kanak 2017 [Akta 792]: Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 1949]: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)
2012 [Akta 747] dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].

“Dengan pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk
memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan
kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap
Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual
kepada Akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini
akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi
Kanak-Kanak 2007.

“Ini termasuk pensabitan seseorang bagi
kesalahan di bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan
keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan
peruntukan baharu yang diperkenalkan,” ujarnya dalam kenyataan.

Tegas beliau, Kerajaan MADANI tekad untuk terus memartabatkan kedudukan
saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf
peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan.

“Usaha ini juga sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di
bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on
the Rights of the Child).

“Salah satu perubahan utama
dalam pindaan ini adalah penambahan Seksyen 6A, yang
memperuntukkan pelantikan seorang (1) Ketua Pesuruhjaya
Kanak-Kanak dan dua (2) orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

“Proses pelantikan bagi jawatan-jawatan ini kini sedang diuruskan
oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana
Menteri dan dijangka selesai dalam masa terdekat. Pelantikan ini
akan memastikan suara dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia
terus diperkasa serta diberi perhatian yang sewajarnya dalam dasar
dan pentadbiran negara,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas