KEMENTERIAN Digital melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) akan melaksanaan inisiatif ‘AI at Work’ yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam sekali gus bertujuan untuk mempersiapkan penjawat awam dalam menghadapi cabaran adaptasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menurut Menteri Digital, Gobind Singh Deo, inisiatif ini menyasarkan hampir 445,000 penjawat awam, dengan pelaksanaan bengkel yang sedang berlangsung dari 3 hingga 7 Mac 2025, melibatkan hampir 300 peserta dari kalangan pentadbir IT dan MyGOVUC yang dikenalpasti oleh pihak Jabatan Data Negara (JDN).
“AI at Work adalah langkah penting untuk memastikan penjawat awam dapat memanfaatkan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka. Melalui program ini, kami berharap dapat mempersiapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan AI
“Bengkel ini akan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi persekutuan.” kata Gobind menerusi jawapan lisan di Dewan Negara hari ini.
Gobind berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Digital untuk menangani impak perkembangan teknologi AI terhadap industri tenaga kerja di Malaysia.
“Kementerian turut menekankan bahawa hampir 620,000 pekerjaan dalam 10 sektor utama dijangka terkesan oleh digitalisasi dan teknologi AI, menurut laporan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Di samping itu, Kementerian Digital juga telah melaksanakan beberapa program berimpak tinggi dalam meningkatkan kemahiran AI dalam kalangan tenaga kerja tempatan.
“Salah satunya adalah program kerjasama dengan Microsoft, AI for Malaysia’s Future (AI-For-MY-Future), yang bertujuan untuk menyediakan platform kemahiran dan bakat berkaitan AI, dengan sasaran 800,000 peserta,” katanya.
Menurut Gobind, NAIO juga bekerjasama dengan TalentCorp untuk menyediakan alternatif bagi membantu tenaga kerja melalui penyediaan kemahiran AI.
“Dalam sektor pertanian, Kementerian Digital tidak ketinggalan untuk memperkenalkan teknologi AI kepada golongan petani melalui pelaksanaan ‘NAIO Lab’, yang dijangka memberi impak besar kepada sektor tersebut, termasuk peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang pertanian, kesihatan, dan pengangkutan,” katanya.
Gobind turut menegaskan bahawa agenda AI Nasional terus diperkukuh dengan pembentukan enam kluster sektor AI dan tujuh kumpulan kerja yang terdiri daripada pakar-pakar bidang khusus.
“Ini bertujuan untuk mencari solusi dan cadangan bagi meningkatkan produktiviti negara dalam menghadapi persaingan global dan ekonomi digital,” katanya.
Ujar beliau, Kementerian Digital juga sedang merancang kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melaksanakan inisiatif adaptasi AI, termasuk digitalisasi kampus dan penyediaan bakat terbaik, selaras dengan Pelan Pengajian Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035.-WILAYAHKU