AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka permohonan Permit Rentas Sempadan Kenderaan Barangan ASEAN bagi pengoperasian di bawah Perjanjian ASEAN Framework
Agreement on the Facilitation of Inter-State Transport (AFAFIST) bermula
3 Mac 2025.
APAD memberitahu, melalui perjanjian AFAFIST tersebut, pengendali berlesen yang berkelayakan berpeluang untuk menjalankan operasi rentas sempadan melibatkan pergerakan kenderaan barangan merentasi sempadan antara dua negara anggota ASEAN yang bersebelahan.
“Operasi di bawah perjanjian AFAFIST ini merupakan langkah strategik untuk
mengukuhkan integrasi ekonomi di rantau ASEAN.
“Dengan memudahkan pergerakan kenderaan barangan, perjanjian ini membantu mengurangkan
halangan perdagangan, meningkatkan kecekapan logistik dan perdagangan
antara negara ASEAN, seterusnya menjadikan rantau ASEAN lebih kompetitif di peringkat global,” ujarnya dalam kenyataan.
Tambahnya, perjanjian tersebut mencerminkan komitmen negara ASEAN
untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau.
Sehubungan itu, APAD menggalakkan pengendali kenderaan barangan
yang berkelayakan untuk mengemukakan permohonan rentas sempadan bagi kenderaan barangan agar dapat memperkukuh kelancaran perdagangan dan logistik di antara negara ASEAN.
“Permohonan boleh dikemukakan secara atas talian melalui Sistem Pelesenan Kenderaan Perdagangan (iSPKP) di pautan. https://iportal.ispkp.gov.my/
,” ujarnya. – WILAYAHKU