Berita

Anjung Syawal lakar sejarah… Perkenal lagu tema, muzik video buat pertama kali

- Diterbit 3 Mac 2025 9:03 AM MYT

BAZAR Aidilfitri terbesar di Lembah Klang yang dikenali sebagai Anjung
Syawal di Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 melakar sejarah apabila
memperkenalkan lagu tema dan muzik video buat pertama kali sejak dianjurkan 13 tahun lalu.

Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, pengenalan itu dibuat sebagai satu kelainan dalam memberi kesegaran kepada Anjung Syawal sekaligus menambah kemeriahan kepada orang ramai.

PENGANJUR yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal

Beliau yang penyanyi memberitahu, ini kerana ia melibatkan dan sokongan golongan pempengaruh serta selebriti tempatan dalam menyemarakkan sambutan Aidilfitri sebagai peluang besar bagi mempromosi keunikan bazar itu.

“Kita tidak boleh menafikan
pengaruh selebriti dan pempengaruh di media sosial yang memainkan peranan penting dalam menyerikan Anjung Syawal.

“Justeru menerusi lagu dan video muzik, semuanya membantu menyampaikan
kemeriahan menyambut Ramadan untuk membuat persiapan Hari Raya nanti.

“Apabila gabungan lagu dan muzik tema dapat dipromosikan kepada orang, secara tidak langsung mereka akan tertarik untuk melawat datang ke Festival Ramadan Putrajaya 2025,”katanya.

Rayme pada majlis pelancaran Anjung Syawal di Presint 3, Dataran Putrajaya, baru-baru ini.

Pada majlis itu, buat pertama kali diadakan pelancaran memperkenalkan lagu tema dan video muzik Anjung Syawal iaitu Raya Sebenarnya nyanyian duet Rayme bersama penyampai radio, Feeya Iskandar atau Cik Piah.

Turut diadakan pelancaran Anjung
Syawal@Yang Riang Raya bersama pempengaruh popular, Pinn Yang selain melibatkan golongan selebriti yang berniaga antaranya Liza Abdullah, Shahz Jazle, Rezza Shah OIAM dan Ayie Floor88.

Anjung Syawal yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya diadakan sempena FRP 2025 kembali untuk tahun ke-13 bermula malam ini sehingga malam raya.

PELANCARAN Anjung Syawal@Yang Riang Raya kali ini bersama pempengaruh popular, Pinn Yang selain melibatkan golongan selebriti yang berniaga antaranya Liza Abdullah, Shahz Jazle, Rezza Shah OIAM dan Ayie Floor88.

Bertemakan Memori Ramadan, Aspirasi Syawal, pelbagai aktiviti dan reruai akan dilaksanakan dengan konsep kali ini akan menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan
kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun di negara ini.

Mengulas lanjut, Rayme yang pernah menyertai pertandingan realiti TV All Together Now pada tahun 2022 berkata, lagu tema Anjung Syawal berjudul Sebenarnya Raya ciptaan Choky Nainggolan dan lirik oleh Rayme Zainal yang disuntik dengan elemen pop
supaya mudah diterima oleh semua di mana mesejnya juga ringan tetapi selari dengan objektif untuk menyambut Aidilfitri.

Katanya yang popular dengan lagu-lagu seperti Andai dan Close To You menambah, muzik video lagu itu diadakan di Klang, Selangor di mana
penggambaraan hanya mengambil sehari sahaja susulan kerjasama baik pempengaruh dan selebriti.

“Tiadalah istilah syok sendiri sebagai penganjur untuk mengambil kesempatan menyanyi lagu tema ini namun penglibatan saya hanyalah sebagai antara momen penting dalam kerjaya seni.

“Lagi pun saya memang seorang penyanyi dan tugas saya bukan hanya menyanyikan lagu ini tetapi juga mempromosikan Anjung Syawal melalui
platform media sosial.

“Malah rakan duet iaitu Cik Piah juga seorang penyanyi berbakat besar. Walapun dia penyanyi namun lakonan dalam muzik menunjukkan dia seorang anak seni yang serba boleh,” katanya.

Lagu Raya Sebenarnya dimuatkan di dalam EP lagu raya berjudul Simfoni Anjung Syawal dan boleh didengari di semua digital platforms bermula 7 Mac 2025 manakala video muzik boleh ditonton bermula 28 Februari 2025 di
laman YouTube rasmi Rayme Zainal. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas