Berita

Siti Nurhaliza, Aliff Syukri jadi inspirasi cipta lagu Si Gadis Lebaran… Farel, Jonathan mahu bertanding di AJL

- Diterbit 2 Mac 2025 8:21 AM MYT

DUO pereka fesyen dari FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok akui berdebar-debar menunggu reaksi masyarakat dan netizen terhadap lagu raya terbitan mereka yang berjudul Si Gadis Lebaran.

Buat pertama kali menjadi penerbit, lagu ciptaan bersama Tya Amida dan Farel Mikhail sendiri yang dinyanyikan oleh Aliff Azman ini merupakan satu percubaan berani FM Group.

FAREL Mikhail (kiri) dan Jonathan memasang cita-cita bertanding di Anugerah Juara Lagu.

Menurut Farel yang juga Pengarah FM Group, apa yang membuatkan dirinya berani mencuba sesuatu yang baharu adalah apabila melihat usahawan selebriti terkenal Datuk Seri Aliff Syukri kini jadi penyanyi.

“Tak dinafikan memang ada yang cakap, kalau dah jadi designer tu, tak payah sibuk nak cipta dan terbitkan lagu. Fokus sahaja dunia fesyen katanya.

“Bagi saya dan Jonathan, tak salah kami nak mencuba sesuatu yang baharu. Lagi pun fesyen dan dunia seni saling berkaitan. Belum cuba belum tahu.

“Biarlah apa orang nak cakap, kami ambil semangat Datuk Seri Aliff Syukri yang berani mencuba sesuatu yang baharu. Lihat beliau, orang nak kata apa sekalipun, dia tetap teruskan menyanyi.

“Beliau adalah inspirasi kami. Semangat serta keberanian yang beliau tonjolkan dalam media sosial sebenarnya memberi dorongan kepada kami mahu pun orang lain yang mungkin masih ragu-ragu membuat keputusan dan takut menanggung risiko.

“Berani mencuba dan tahu apa yang dia mahukan, menjadikan beliau berada di tahap sekarang. Jadi, kami terinspirasi untuk terlibat sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit lagu Si Gadis Lebaran.

“Lagi pun, takkan Aliff Syukri je nak ada lagu raya. Kami pun nak juga.

“Selain itu, antara tujuan kami buat lagu raya ini bukanlah sekadar nak memeriahkan sambutan Syawal dan industri muzik, tapi juga nak berkongsi bakat dalam bidang penulisan lagu,” katanya.

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Aliff Syukri jadi inspirasi buat Farel dan Jonathan

Farel ditemui media dalam acara Beautiful Malaysia: Celebrating Malaysia Foods, Arts, Culture and Fashion yang berlangsung pada Khamis di Grandmama, Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur.

Si Gadis Lebaran mengisahkan tentang wanita yang cantik bergaya di hari raya. Kejelitaannya makin menyerlah apabila mengenakan baju tradisional Melayu.

Dalam pada itu, Farel juga tidak menafikan lagu Si Gadis Lebaran adalah langkah pertamanya untuk serius dalam bidang muzik.

“Ketika membuat lirik lagu ini, saya terbayangkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ini kerana, penampilan beliau yang sinonim dengan imej wanita Melayu.

“Bukan itu sahaja, beliau juga antara penyanyi yang mempunyai banyak lagu raya yang popular dan menjadi siulan ramai.

“Beliau juga merupakan bintang yang sentiasa memartabat budaya Melayu. Kami kagum sangat, di sebalik nama besar yang dibina, beliau tak pernah lupa akar budaya kita,” katanya.

Menurut Farel, percubaan pertamanya mencipta lagu dan lirik lagu merupakan permulaan awal untuk lebih jauh dalam bidang muzik.

“Ada juga yang bertanya, kenapa tidak kami saja yang nyanyi lagu tersebut. Sebenarnya saya tiada bakat dalam menyanyi, tapi dalam cipta lirik dan melodi tu, saya berusaha yang terbaik dalam menggilap bakat yang ada.

“Saya sebenarnya serius dalam bidang ini, selepas ini mana tahu saya boleh cipta lagu dan bertanding di Anugerah Juara Lagu (AJL). Insya Allah, kalau ada rezeki, kita tak mampu tolak.

“Namun, masih banyak yang perlu saya belajar lagi. Kena buat banyak buat research, hadiri kelas yang sesuai dan mungkin dalami seni muzik. Semua itu perlukan proses,” katanya.

Dari kiri: Ketua Pemasaran dan Jualan Grandmama, Nancy Tan, Chef Raja Kamarzaman (cef Grandmama) dan pereka fesyen yang juga Pengarah FM Group, Farel Mikhail

Dalam acara Beautiful Malaysia, Farel dan Jonathan yang membawa jenama FM Group turut memperagakan pakaian rekaan mereka.

“13 jenis rekaan busana wanita Melayu di Malaysia yang kami bawakan bukan sahaja sesuai dipakai ketika hari raya, malah pada hari lain juga. Boleh dikatakan juga 13 rekaan itu mewakili setiap negeri di Malaysia.

“Rekaan bermotifkan songket serta batik ini berinspirasikan wanita Melayu misalnya Puteri Perak untuk negeri Perak, Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Kebaya Sulam (Pulau Pinang), Kurung Riau (Johor) dan banyak lagi.

“Untuk 13 rekaan ini, saya turut bekerjasama dengan pereka fesyen dari Sarawak, Melakar, Pulau Pinang dan Kedah dalam memenuhi tema tradisional wanita Melayu.

“Sebenarnya cantik dan unik sekali memakai baju raya tema ini. Warisan turun temurun ini harus diteruskan generasi hari ini. Siapa lagi nak martabatkan imej busana tradisional kita, kalau bukan kita sendiri,” ujarnya.

PERTUNJUKAN fesyen 13 jenis rekaan busana wanita Melayu

Farel juga berpendapat, acara Beautiful Malaysia ini adalah salah satu usaha untuk mencapai objektif memartabatkan seni kebudayaan yang terdapat di Malaysia.

“Fesyen, sama seperti makanan dan seni, adalah alat yang kuat untuk memelihara dan mengembangkan identiti budaya kita agar dapat kekal relevan dan meriah untuk generasi akan datang.

“Secara tidak langsung, kami juga menyahut usaha kerajaan memperkasa, memelihara dan memulihara sejarah, budaya dan warisan negara agar kita dapat mencintai budaya yang menjadi lambang tradisi dan pelengkap kepada identiti serta tamadun masyarakat berbilang etnik, ” tambahnya lagi.

Beautiful Malaysia ini disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sedikit info, FM Group yang merupakan penganjur festival fesyen Precious Of Malaysia ini turut menerbitkan buku Pesona Kebaya.

Apa yang menarik, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli melancarkan buku Pesona Kebaya – Enchanting of Kebaya (Dwi-Bahasa) di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur tahun lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas