KOMPOSER popular dan pemuzik, Zul Mahat, 64, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), malam tadi (Jumaat) akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Berita sedih itu disampaikan anak saudaranya kepada teman rapat komposer terbabit, Rosnah Abdul Aziz.
Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke PPUM pada penghujung Disember lalu selepas terjatuh semasa membuat rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis di Subang Jaya.
Zul Mahat mengalami kecederaan di bahagian dagu, mata serta patah tangan kanan dan bahu kanan.
Allahyarham dirawat selama hampir sebulan di hospital berkenaan dan turut menjalani prosedur angiogram.
Doktor mendapati ada dua saluran darah tersumbat dan memasukkan stent bertujuan menstabilkan keadaannya.
Allahyarham dibenarkan keluar dari hospital pada penghujung Januari, tetapi dimasukkan semula ke PPUM pada 17 Februari lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Sepanjang kariernya, Allahyarham banyak menghasilkan lagu-lagu untuk artis tanah air antaranya Usah Diragui nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Sahabat (Fauziah Latiff) dan Sesat Dalam Gelita (Spider).
Sebagai pemain keyboard, Zul Mahat juga banyak terlibat dengan kerja-kerja rakaman di Studio Luncai Emas dalam album Datuk M Nasir, Rahim Maarof dan Search.
Antara lagu yang menerima sentuhan emasnya termasuklah, Mustika dan Istana Menanti. – WILAYAHKU