MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menyerahkan penetapan semula kadar zakat fitrah kepada Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam setiap negeri.
Buat masa ini katanya, belum ada lagi sebarang penetapan semula kadar zakat fitrah susulan pembongkaran isu beras campur baru-baru ini.
“Penentuan kadar zakat fitrah pada masa ini mengambil kira fatwa atau keputusan yang dibuat pada masa itu.
“Jadi fatwa ketika itu menetapkan zakat fitrah yang perlu dibayar adalah sebanyak RM7, RM15 dan RM 20 pada masa itu,” katanya.
Menurut Mohd Na’im, perkara itu mungkin akan dibincangkan semula Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Negeri tetapi bukan pada masa ini.
“Itu saya serahkan pada Jawatankuasa Fatwa atau Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk mengkaji semula kadar zakat fitrah, tetapi bukan masa ini,” katanya yang ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan sijil Malaysia Book Of Records dan pelancaran produk baharu Ayam Gempuk Pak Gembus, malam tadi.
Baru-baru ini media melaporkan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) mendapati kira-kira 50 peratus daripada 5,000 sampel beras putih import yang dirampas pihak berkuasa dicampur beras putih tempatan.-WILAYAHKU