Berita

Perkukuh diplomasi budaya

PAMERAN 'Hadiah dari ASEAN' di Balai Seni Negara sehingga 31 Julai ini.
- Diterbit 2 Mac 2025 4:00 PM MYT

BERSEMPENA Kepengerusian ASEAN 2025, Balai Seni Negara mempamerkan koleksi hadiah karya seni dari negara anggota ASEAN serta ASEAN+6 termasuk Korea Selatan, Jepun, China dan India.

Balai Seni Negara dalam kenyataan memaklumkan Pameran Hadiah Dari ASEAN itu mempamerkan 33 karya seni yang dihadiahkan kepada Malaysia antara 1960 hingga 2009.

Menurutnya, pameran itu menekankan peranan seni dalam memperkukuh diplomasi budaya serta menyokong aspirasi ASEAN 2025 dalam mempromosikan perpaduan dalam kepelbagaian.

“Setiap karya yang dipamerkan bukan sekadar hasil seni malah menjadi simbol hubungan erat antara negara-negara ASEAN dan rakan serantau.

“Ia mencerminkan warisan budaya yang dikongsi bersama, sekali gus menyumbang kepada perkembangan seni visual di peringkat antarabangsa,” katanya.

Jelas Balai Seni Negara, pameran itu memperkukuh peranan Malaysia sebagai pusat budaya dan diplomasi serantau, dengan memaparkan keindahan serta kepelbagaian seni negara-negara anggota.

“Sebagai tuan rumah bagi ASEAN 2025, Malaysia sentiasa komited menyediakan platform yang menggalakkan pertukaran seni, menonjolkan nilai-nilai bersama serta memperkukuh hubungan sejarah yang telah lama terjalin.

“Karya-karya yang dipamerkan bukan sahaja dilihat mampu untuk memperkaya naratif seni, tetapi menggambarkan kepelbagaian tradisi dan perkembangan seni kontemporari yang pesat di rantau ini,” katanya.

Tambahnya pameran yang julung kali diadakan itu menghimpunkan karya-karya seniman terkemuka dari Malaysia termasuk Lim Nan Seng, Mii bin Awas, Aw Eng Kwang, Chang Yong Chia, Amir B. Tadok, Ahmad B. Kassim, Linggam dan Abil B. Manan.

Indonesia pula menampilkan karya Nurdian Ichsan sementara Singapura dengan karya Ahmad Abu Bakar dan Thomas Cheong Kah Ho.

Hadiah Dari ASEAN turut menampilkan karya Suebpong Powthai, Supphaka Palprame, Sayumporn Kasornsuwan dan Wanna Thitamma dari Thailand; Akito Morino, Keiichi Ito, Hideo Matsumoto dan Masakazu Hoki (Jepun); Myung-Ah Lee, Ui Sun Joung, Dong-Hoi Kim, Dae-Soo Lee, Han-Won Lee, Byung-Ho Seo, Bok-Ja Won, Sun-Woo Park, Chung-Hwi Cho, Byoung-Kwoun Park dan Young-Shick Kwon (Korea); Zheng Ning (China) serta Gurjinder Kaur dan Goutam Das dari India.

“Orang ramai dijemput untuk mengunjungi Balai Seni Negara dan menerokai naratif seni yang terdapat dalam pameran yang dibuka setiap hari sehingga 31 Julai bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang.
“Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas