PENYANYI Ara Johari meluahkan rasa syukur apabila lagu baharunya Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) mendapat sambutan luar biasa daripada pendengar.
Lagu ciptaan komposer seberang, Ilham Baso itu menduduki kedudukan pertama di carta RIM (Recording Industry Music of Malaysia) selama dua minggu berturut-turut.
“Alhamdulillah penat lelah saya dan pasukan berbaloi dan ini menjadi pemangkin semangat untuk saya mengeluarkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya gembira kolaborasi pertama saya bersama komposer Indonesia ini membuahkan hasil yang amat membanggakan” ujarnya.
Lirik video dan audio MJOL yang dilancarkan pada 31 Julai tahun lalu juga kini sudah melebihi 10 juta tontonan di YouTube.
Pelantun lagu Bunga itu juga merancang untuk melebarkan sayap ke Indonesia bagi mempromosikan lagu tersebut.
“Kami masih dalam rangka rancangan bagi mempromosikan lagu ini ke Indonesia. Mungkin ada sedikit kelainan daripada lagu asal untuk kesesuaian pasaran di sana.
“InsyaAllah selepas Aidilfitri nanti kami akan ke sana” ujarnya.
Dalam pada itu, Ara berkata, kejayaan tersebut juga sedikit sebanyak memberi tekanan untuk dia mencari material baharu.
“Sekarang masih dalam proses mencari bahan untuk lagu akan datang. Sudah tentu agak tertekan mencari lagu yang lebih baik.
“Saya harap dapat bekerjasama dengan komposer baru dan tidak menolak jika diberi peluang mencuba genre berbeza,” ujarnya. -WILAYAHKU