TARIKH bagi melihat anak bulan Ramadan ditetapkan pada petang Jumaat, 28 Februari 2025 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah.
Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dalam kenyataan, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh
awal Ramadan adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Jumaat, 28 Februari 2025 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah.
“Jawatankuasa-Jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat
anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi seluruh Malaysia.
“Ia adalah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Baitul Hilal Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor; Baitul Hilal Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor.
“Lokasi lain, Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah; Stesen Cerapan Hilal Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah; Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Kuala Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Pulau Perhentian, Besut, Terengganu; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.
“Selain itu, Stesen Cerapan Hilal Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan; Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah
Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan; Stesen Cerapan Hilal Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan; Pusat Falak Miri, Esplanade Luak, Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching, Sarawak; Pusat Falak Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang; Stesen Cerapan Hilal Gunung Berincang, Cameron Highlands; Menara 188, Kuantan Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis, Perlis,” ujarnya.
Tambahnya, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh awal Ramadan yang ditetapkan melalui radio dan televisyen. – WILAYAHKU