PEMILIHAN U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia dilakukan melalui proses penilaian ketat dan bukan penganugerahan terus (direct award), tegas kerajaan susulan pertikaian mengenai keputusan tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pemilihan itu dibuat selepas proses “beauty contest”, yang menilai syarikat berdasarkan keupayaan teknikal, strategi perniagaan, serta rekod prestasi mereka dalam pembangunan infrastruktur komunikasi sebelum ini.
“Penilaian dilakukan secara terperinci oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang mengambil kira faktor seperti kepuasan pelanggan, kadar aduan, serta penyertaan dalam projek penyediaan perkhidmatan sejagat (USP) seperti JENDELA Fasa 1 dan penaiktarafan 4G,” katanya dalam sesi Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta kerajaan menjelaskan kriteria pemilihan tender 5G kepada U Mobile serta sama ada kerajaan bercadang untuk merombak semula keputusan tersebut dan membuka tender kepada semua syarikat telekomunikasi utama.
Menurut Fahmi, keputusan pemilihan tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ia berdasarkan kombinasi beberapa faktor utama.
“Antaranya adalah keupayaan teknikal dan rancangan perniagaan menunjukkan pelan operasi yang dikemukakan oleh U Mobile menepati piawaian yang ditetapkan.
“Rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan dan penyertaan dalam projek pembangunan komunikasi nasional termasuk penglibatan dalam JENDELA Fasa 1 dan penaiktarafan rangkaian 4G di Malaysia,” katanya.
Fahmi turut menegaskan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk merombak semula keputusan ini kerana pemilihan telah dibuat berdasarkan tatakelola yang baik dan selaras dengan peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
“MCMC sebagai badan bebas telah menjalankan penilaian berdasarkan proses yang telus dan profesional. Oleh itu, keputusan ini akan dikekalkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa MCMC akan terus memantau kemajuan pelaksanaan rangkaian 5G kedua bagi memastikan syarikat terpilih mematuhi sepenuhnya keperluan peraturan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).-WILAYAHKU
\