Berita

Tuduhan KWSP rugi daripada penjualan saham MAHB adalah tidak berasas

Gambar hiasan
- Diterbit 20 Februari 2025 1:00 PM MYT

TUDUHAN bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian daripada penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada 2023 adalah tidak berasas.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebaliknya KWSP mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Malah katanya, KWSP telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan syariah.

“Secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya ketika Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami oleh KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB.

Amir Hamzah berkata, penjualan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai KWSP pada 2023 di Bursa Malaysia adalah sebahagian daripada strategi dagangan aktif KWSP untuk memanfaatkan pergerakan harga saham dan menjana pendapatan pelaburan jangka pendek.

Katanya, saham MAHB telah dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.

Jelas beliau, prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi ini.

“Oleh itu, aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.

“Sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut
mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP,” katanya.

Beliau menambah, KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai Chinese wall yang merupakan amalan piawaian standard di kalangan GLIC dan institusi kewangan.

Di bawah protokol perintang maklumat katanya, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP).

“Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya ‘insider trading’ yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ia merupakan langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap ‘insider trading’ seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” katanya.

Tambahnya, kesalahan insider trading ini merupakan satu kesalahan jenayah yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

“Sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ini boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik,” katanya.

Jelas beliau, kawalan dalaman ketat yang telah diwujudkan dan dipraktikkan dengan penuh integriti oleh KWSP menyumbang kepada keteguhan KWSP sebagai sebuah institusi pelaburan yang disegani sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya.

Katanya, sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan.

“Apa-apa tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan KWSP, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas