Berita

Kes HIV dalam kalangan lelaki meningkat, KKM perluas program pencegahan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 20 Februari 2025 12:00 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pelan jangka panjang bagi menangani peningkatan kes HIV dalam kalangan lelaki yang mempunyai hubungan seksual dengan lelaki (MSM) yang kini menjadi kumpulan paling ramai menghidapi HIV berdasarkan laporan Global AIDS Monitoring 2024.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata kadar jangkitan baharu HIV/AIDS di Malaysia telah mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus antara tahun 2000 hingga 2009.

“Namun sejak dari tahun 2010 hingga 2024, kadar penurunan menjadi lebih perlahan iaitu hanya sekitar 25.4 peratus.

“Beberapa langkah telah dan sedang diambil bagi memperkukuhkan kesedaran serta rawatan kepada kumpulan berisiko tinggi untuk mengekang penyebaran HIV di negara ini,” katanya dalam sesi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu

Beliau menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang meminta penjelasan mengenai pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani peningkatan kes HIV khususnya dalam kalangan MSM.

Menurut Dzulkefly, bagi menangani peningkatan kes dalam kumpulan berisiko, KKM telah melaksanakan beberapa inisiatif utama, termasuk PROSTAR 2.0 iaitu program kesedaran HIV yang berasaskan sekolah bagi meningkatkan daya tahan remaja terhadap HIV, jangkitan seksual (STI) serta aspek biopsychosocial-spirituality.

“Pada tahun 2024, sebanyak 348 aktiviti PROSTAR 2.0 melibatkan 42,710 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) telah dilaksanakan, dengan peningkatan tahap pengetahuan sebanyak 47 peratus,” katanya.

Katanya, KKM melancarkan Panduan Ujian Kendiri HIV serta laman web TestNow pada tahun 2023 yang memberikan akses mudah kepada maklumat HIV, penilaian risiko, dan kit ujian kendiri.

“Setakat ini, laman tersebut telah menerima lebih 100,000 pelawat, dengan purata 382 pengunjung setiap hari.

“KKM juga turut menganjurkan Perkhidmatan HIV yang dikenali sebagai Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) kini dijalankan di 33 klinik kesihatan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang akan diperluaskan bagi meningkatkan akses kepada rawatan dan perkhidmatan bagi populasi berisiko.

“Selain itu, KKM terus memperluaskan rawatan Antiretroviral (ARV) kepada Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) bagi memastikan mereka dapat hidup seperti individu normal,” katanya.

Dzulkefly berkata pasangan kepada ODHA juga digalakkan mengambil rawatan pencegahan HIV, iaitu PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis), yang boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV melalui hubungan seksual sebanyak 99 peratus jika diambil mengikut preskripsi yang ditetapkan.

“Setakat tahun 2024, seramai 7,053 individu telah menerima rawatan PrEP melalui perkhidmatan PrEPGov di 34 klinik, dan program ini akan diperluaskan pada 2025,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas