Berita

KPKM rombak strategi industri padi dan beras, jamin bekalan tempatan mencukupi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 20 Februari 2025 11:30 AM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah merombak strategi melalui pelaksanaan reformasi menyeluruh dalam industri padi dan beras secara berfasa sejak Oktober 2024 bagi menangani masalah kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Langkah drastik ini diambil susulan krisis bekalan yang mula timbul sejak pertengahan 2023, yang menyebabkan peningkatan harga dan kekurangan stok di pasaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pelaksanaan reformasi ini bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah, serta menjamin keterjaminan makanan negara dalam jangka pendek, sederhana, dan panjang.

“Walaupun subsektor padi dan beras berdepan pelbagai faktor yang mempengaruhi kos dan produktiviti, kerajaan komited memastikan bekalan beras mencukupi untuk rakyat melalui pendekatan berstruktur,” katanya dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai langkah drastik yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi kekurangan beras tempatan di pasaran.

Menurut Mohamad, dalam Sesi Penerangan Menteri mengenai Situasi Semasa Industri Padi dan Beras Negara di Dewan Rakyat pada 13 Februari 2025, kerajaan telah mengumumkan langkah-langkah strategik yang akan diambil dalam tempoh enam bulan bagi memastikan beras putih tempatan kekal tersedia di pasaran.

“Kerajaan akan terus memantau keberkesanan langkah-langkah ini bagi memastikan tiada gangguan kepada rantaian bekalan beras tempatan,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas