Berita

Kerajaan perkenal pendekatan PAKW berasaskan NDI tangani kos sara hidup

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 20 Februari 2025 10:30 AM MYT

KERAJAAN kini beralih kepada pendekatan baharu dalam menentukan kumpulan sasar bantuan sosial dengan memperkenalkan mekanisme Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) berasaskan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI), bagi memastikan pengagihan bantuan yang lebih adil dan bersasar.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata pendekatan ini menggantikan sistem pengkelasan tradisional berdasarkan kumpulan pendapatan B40, M40, dan T20 yang sebelum ini hanya mengambil kira pendapatan kasar tanpa menilai perbelanjaan sebenar isi rumah.

“Konsep NDI mengambil kira jumlah pendapatan yang boleh digunakan setelah ditolak perbelanjaan asas seperti cukai, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), zakat dan lain-lain komitmen wajib,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang meminta perincian mengenai pelaksanaan mekanisme baharu itu dalam menangani isu kemiskinan dan keciciran, khususnya di kawasan pedalaman.

Menurut Rafizi, PAKW adalah satu penanda aras yang menentukan jumlah perbelanjaan asas bulanan yang diperlukan oleh individu atau isi rumah untuk mencapai kehidupan wajar yang mengambil kira keperluan asas, kehendak, serta kemampuan menyertai aktiviti sosial.

“PAKW dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan ciri-ciri isi rumah seperti saiz keluarga dan lokasi, sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Melalui pendekatan ini katanya, bantuan kerajaan akan disesuaikan mengikut kos sara hidup sebenar yang berbeza antara negeri dan kawasan.

“Ini membolehkan kerajaan menangani isu kemiskinan dan keciciran dengan lebih efektif, berbanding pendekatan lama yang menyamaratakan semua kumpulan dalam kategori B40, M40 dan T20,” katanya.

Menjelas lanjut, Rafizi berkata terdapat beberapa manfaat utama dalam penggunaan sistem baharu ini, antaranya adalah gambaran lebih jelas tentang kemampuan isi rumah yang dapat membantu kerajaan mengenal pasti isi rumah yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Ia juga memperjelas tentang kos sara hidup di kawasan yang berbeza antara negeri, sama ada di bandar atau luar bandar serta dapat menyokong peralihan konsep daripada pendapatan kasar kepada
pendapatan boleh guna bersih.

“Kaedah baharu ini turut menjadi indikator dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi dan penentuan gaji yang lebih adil dan membantu individu dan keluarga merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah,” katanya.

Tambahnya, bagi memudahkan rakyat mengira perbelanjaan asas kehidupan wajar, kerajaan telah melancarkan kalkulator PAKW (MyPAKW) yang boleh diakses melalui mypakw.dosm.gov.my.

Menurut beliau, peralihan kepada pendekatan baharu ini juga akan dipermudahkan melalui Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengintegrasikan pelbagai maklumat individu dan isi rumah daripada agensi kerajaan persekutuan, negeri serta badan berkanun.

“PADU akan membantu kerajaan meminimumkan kesilapan dalam pemberian bantuan, sama ada ralat pemasukan (inclusion error) atau penyisihan (exclusion error), bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukannya,” jelas Rafizi.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas