PROGRAM motivasi mungkin suatu yang agak asing kepada generasi muda terutama yang sudah ada kerjaya atau masih belajar di institusi pengajian tinggi. Mungkin juga ada yang tidak pernah mendengar nama-nama penceramah motivasi popular pada kemuncaknya tahun 1990-an.
Populariti penceramah itu pada waktu dulu sama seperti pempengaruh (influencer) pada masa ini. Sebut nama sahaja semua orang tahu. Mereka mendapat liputan meluas di akhbar serta televisyen.
Cuma bezanya waktu itu tidak ada secara statistik yang menunjukkan jumlah peminat atau pengikut seperti pempengaruh di media sosial. Namun populariti yang diraih sebagai penceramah hampir sama dengan golongan selebriti. Disebabkan populariti juga mereka hampir tidak ada masa yang terluang.
Ketika itu program motivasi adalah fenomena dan istilah ‘motivasi’ itu sendiri baharu sahaja menjadi sebutan. Penceramah motivasi juga seperti penceramah agama selebriti ketika ini. Sifat menjurus selebriti itu melonjakkan mereka yang mencuba nasib sebagai penceramah atau hendak lebih sedap lagi disebut ‘pakar motivasi.’
Ada juga dalam kalangan kawan-kawan yang lama menghilang, tiba-tiba timbul sebagai ‘pakar motivasi’. Jadual motivasi padat dan menjadi kerjaya baharu sekalipun sebelumnya tidak tunjuk pun kecenderungan ke arah itu. Cuma sejak dulu ada kelebihan dan petah bercakap.
Saya bertanya, sejak bila menjadi pakar motivasi? Salah seorang kawan saya itu beritahu, “Selepas kena berhenti kerja. Kemudian banyak baca buku motivasi dan langsung cuba-cuba. Tak sangka menjadi-jadi pula.”
Dia berkata: “Hang pun boleh jadi pakar motivasi. Bukan ada sapa nak tengok sijil kelayakan kita. Syaratnya mesti pandai cakap dan kuat berdrama masa di depan pentas.”
Ketika itu memang banyak yang berkelayakan memberi motivasi malah bertaraf pakar. Bagaimanapun apabila sesuatu bidang itu memberikan pulangan yang besar, banyaklah yang cuba-cuba. Mana tahu untung sabut timbul sebagai personaliti popular sebagai pakar motivasi.
“Tak salah menjadi penceramah motivasi walaupun kita hanya ceduk sana-sini kemudian gaul dan berikan kepada peserta,” kata kawan saya yang imejnya sudah berubah – sentiasa bergaya dengan kot dan tali leher.
Kini sudah amat jarang kita mendengar mana-mana pihak terutama syarikat korporat menganjurkan program motivasi. Mungkin ada, tetapi tidak seperti tahun 1990-an yang dianggap zaman kemuncak penceramah motivasi.
Saya pun tidak ingat dengan jelas detik awal munculnya fenomena program motivasi, seterusnya pakar motivasi tahun 1990-an. Seingat saya ia muncul secara mendadak. Sana-sini orang bercakap tentang pengalaman menarik mengikuti program motivasi.
Ada yang bertanya siapa atau pihak manakah yang memberikan gelaran ‘pakar’ kepada penceramah? Sebenarnya gelaran pakar itu bermula daripada kad nama (business card) penceramah sendiri. Mereka yang memulakan gelaran itu kemudian menjadi ikutan kepada yang lain.
Sebenarnya orang tidak kisah pun sama ada seseorang penceramah itu bertaraf pakar atau tidak. Ukuran yang digunakan pada masa itu adalah popular dan peserta pulang dengan gembira kerana terhibur oleh penceramah. Sebab itulah penceramah mesti pandai berdrama hingga peserta ketawa dan teresak-esak pada masa yang sama.
Itulah antara tanda aras kehebatan yang seterusnya menjadikan seseorang penceramah diminati ramai. Mereka mesti boleh membuatkan peserta yang memenuhi dewan ketawa terbahak-bahak, kemudian menangis teresak-esak. Kalau boleh buat itu, populariti sudah berada dalam tangan.
Semakin hebat membawakan kisah-kisah masa lalu yang meruntun perasaan maka semakin popularlah seseorang penceramah. Mereka menjadi rebutan penganjur terutama daripada pihak korporat untuk menaikkan motivasi pekerja masing-masing.
Peserta yang terpilih mengikuti program motivasi pula sebahagian besarnya berasa seperti lebih teranjak atau terapung berbanding kawan-kawan yang lain. Balik dari program motivasi dengan semangat yang berkobar-kobar. Tetapi biasanya semangat itu hanya bertahan paling lama seminggu sahaja.
Sekalipun begitu, suatu hal yang tidak boleh dinafikan adalah munculnya satu kerjaya baharu secara tiba-tiba. Bukan sahaja kerjaya malah yang mampu memberikan kehidupan mewah kepada individu. Salah satunya disokong oleh persepsi bahasa belum cukup motivasi kalau tidak menyertai program berkenaan.
Tidak hairanlah kalau dalam kalangan penceramah mempunyai pengurus, pembantu khas selain pemandu peribadi. Hal itu antara yang diulang-ulang sebut kepada peserta untuk membuktikan mereka berhasil mengubah diri menjadi orang ‘berjaya.’
Banyaklah yang ternganga kagum dengan kehebatan penceramah. Memang itulah sebahagian daripada keterujaan dalam kalangan kita – pantang tengok orang kaya atau memperagakan diri sebagai kaya. Maka tidak hairanlah kalau hari ini ramai selebriti memperagakan kekayaan tetapi bukan kejayaan dalam kehidupan.
Kesimpulannya program motivasi yang berkualiti adalah suatu yang baik dan berkesan untuk meningkatkan semangat pekerja. Ia boleh memberikan dorongan positif serta membantu pekerja mengatasi rintangan untuk mencapai tujuan bersama – untuk peribadi dan organisasi.
Oleh hal demikian, sepatutnya kerancakan program motivasi tidak terhenti dengan tiba-tiba selepas berakhirnya fenomena pada tahun 1990-an. Program itu terbukti mempunyai sumbangan yang besar dalam membina modal insan di sesebuah organisasi.
Hanya yang perlu ditekankan adalah kualiti peneraju atau penceramah motivasi. Salah satunya tidak menjadikan populariti sebagai prasyarat utama, sebaliknya kemampuan membangunkan upaya yang ada kepada semua peserta. Hal itu amat memerlukan penceramah yang arif dan berilmu.
Populariti sekadar menarik penglibatan peserta. Penceramah motivasi yang baik bukan sahaja mampu menguasai seni berbicara tetapi mesti memastikan setiap kata yang diucapkan itu boleh membawa perubahan pada cara berfikir dan bertindak orang yang mendengarnya.
Saya berpengalaman mengikuti banyak program motivasi pada tahun 1990-an, sama ada dihantar oleh majikan atau diundang sebagai peserta oleh penganjur. Daripada itu saya mendapati sebahagian besar program motivasi tahun 1990-an adalah ikut-ikutan.
Program yang mengundang penceramah popular selalunya dianggap ‘berjaya’ apabila disertai oleh jumlah peserta yang besar dan dewan riuh-rendah dengan ‘persembahan lawak.’ Ukuran seperti itu bukan sahaja tidak tepat malah mendorong berleluasanya penceramah ‘cap ayam’ seperti sesetengah usahawan yang riuh di media sosial.
Tanpa menafikan sememangnya banyak penceramah yang berkualiti dan berkelayakan, tetapi banyak juga yang mengambil sebagai peluang untuk menjadi popular selain kehidupan yang pada relatifnya mewah. Disebabkan itu, saya melihat lambakan program motivasi tidak lebih sebagai satu fenomena sahaja. Yang oportunis sentiasa melihat sisi untungnya sahaja.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.