ADUAN mengenai jalan berlubang di Wilayah Persekutuan perlu diselesaikan dalam tempoh 12 jam berbanding 24 jam sebelum ini.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, langkah tersebut selaras dengan dasar sifar jalan berlubang atau ‘zero pothole’ di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan, khususnya di Kuala Lumpur.
“Perkara itu penting untuk keselamatan pengguna memandangkan tahun ini kita berdepan dengan Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan,” katanya dalam Majlis Aspirasi bersama warga Wilayah Persekutuan dan agensi hari ini.
Dalam masa sama, beliau yakin tempoh penyelesaian aduan dapat disingkatkan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan secara langsung untuk mengesan seterusnya menyelesaikan isu penyelenggaraan bandar.
“Aduan berkaitan jalan berlubang boleh disalurkan kepada Adu@KL atau mana-mana saluran aduan agensi yang menjadi ahli KL Strike Force.
“Aduan yang biasa diterima kebanyakan di kawasan ibu kota yang dilalui banyak kenderaan serta kawasan laluan perindustrian,” katanya.
Selain itu, Zaliha memaklumkan pihaknya akan menambah sebanyak 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih dan dilengkapi kecerdasan buatan (AI) di sekitar Kuala Lumpur.
“CCTV ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap keselamatan awam tetapi juga akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan termasuk pemantauan secara proaktif dan tindakan lebih pantas kepada situasi kecemasan, insiden trafik mahupun aktiviti jenayah,” katanya. – WILAYAHKU