Berita

Operasi sekolah sewaktu Ramadan sama seperti tahun sebelum ini – KPM

- Diterbit 18 Februari 2025 11:27 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini.

PENGOPERASIAN sekolah dalam bulan Ramadan untuk Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berjalan seperti biasa, sama seperti tahun sebelum ini.

KPM memaklumkan, ia adalah berdasarkan kepada Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang digunapakai.

“Bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadah bulan Ramadan dengan selesa, KPM telah menetapkan waktu persekolahan sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi persekolahan seawal jam 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Manakala bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam 5.00 petang.

“Bagi sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.

KPM berkata semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri diminta untuk mengingatkan pengetua dan guru besar institusi pendidikan bawah KPM supaya mematuhi surat siaran tersebut.

“KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba untuk mengelirukan masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas