SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun tujuh bulan, Muhammad Hariz Iman Mohd Herman menerima sumbangan RM10,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hilang penglihatan kedua-dua matanya akibat kanser saraf.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin mewakili Anwar menyampaikan bantuan kepada Hariz di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur tengah hari tadi.
“Anak kecil yang baru berusia 2 tahun 7 bulan ini disahkan menghidap barah neuroblastoma tahap empat pada 5 Ogos 2024 hingga mengakibatkan beliau kini telah kehilangan kedua-dua belah penglihatan matanya.
“Sebagai seorang bapa, hati saya cukup luluh melihat ujian yang dihadapi oleh adik Hariz yang cukup manja kepada ibu dan ayah beliau Mohd Herman dan Norshahida Md Nayan,” katanya di Facebook.
Azman berharap bantuan khas daripada Perdana Menteri itu dapat membantu memudahkan urusan keperluan mereka sekeluarga yang perlu berulang-alik ke Hospital bagi membawa anaknya itu untuk menjalani rawatan kemoterapi rapid Cojex dan kitaran kemoterapi AIS.
“Sahabat-sahabat lain yang ingin turut membantu bagi meringankan beban Hariz boleh menyalurkan sumbangan,” katanya. – WILAYAHKU