Berita

TH, Saudia Airlines meterai perjanjian penerbangan sewa khas jemaah haji selama 5 tahun

- Diterbit 15 Februari 2025 10:42 AM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) memeterai perjanjian bersama syarikat penerbangan Saudia Airlines (Saudia) bagi menyediakan penerbangan sewa khas untuk membawa jemaah haji negara ke Tanah Suci untuk tempoh lima tahun bermula 2025 sehingga 2029.

Majlis menandatangani perjanjian di antara TH bersama syarikat penerbangan berkenaan telah diadakan hari ini di Menara TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Perjanjian ditandatangani Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun manakala, Saudia diwakili Pengurus Besar, Pengurusan Hasil dan Jualan, Haji dan Umrah, Amer G Alghamdi.

Menurut TH, perjanjian berkenaan turut disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Syed Hamadah berkata, kerjasama yang sudah terjalin sebelum ini diperkukuhkan lagi dengan pelantikan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi penerbangan jemaah haji negara.

“TH berkeyakinan syarikat Saudia dapat membantu TH dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan terbaik demi keselesaan dan kelancaran perjalanan jemaah haji. Atas dasar itu, kami meneruskan kerjasama untuk jangka panjang kerana syarikat ini telah menunjukkan rekod prestasi yang cemerlang pada musim-musim haji sebelum ini,” kata beliau.

Bagi musim haji 1446H/2025M, Saudia Airlines akan menyediakan sebanyak 45 penerbangan pergi dan balik dengan kapasiti penumpang sebanyak 357 orang bagi setiap pesawat untuk menerbangkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 bakal haji secara berperingkat.

Kesemua penerbangan sewa khas ini akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarbangsa Prince Mohammad Abdulaziz di Madinah. Penerbangan pertama dijadualkan pada 29 April ini.

“TH dan syarikat penerbangan Saudia akan memastikan jadual penerbangan disusun secara sistematik serta komited untuk terus menyampaikan perkhidmatan mesra secara konsisten bagi memberikan pengalaman perjalanan haji yang terbaik kepada para dhuyufurrahman daripada langkah mula di tanah air ke tanah suci sehingga pulang semula ke tanah air,” tambah Syed Hamadah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas