BAGI menyuntik semangat Aidilfitri yang bakal tiba, Ariani kembali ke pentas peragaan dalam mempersembahkan koleksi Hikayat Ariani Karya Seindah Busana bertempat di Grand Ballroom Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.
Koleksi Ariani kali ini mengilhamkan rekaan hijab dan busana terkini dengan pelbagai pilihan dan gaya yang cukup menawan.
Sebanyak 158 daripada 600 pilihan hijab dan busana terbaru diperkenalkan dengan kombinasi warna, material dan cetakan yang lebih unik, moden
dan elegan yang dipertontonkan kepada 1000 tetamu yang hadir pada majlis pertunjukan fesyen itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ariani, Datin Seri Farah Haryani dalam ucapannya, Aidilfitri bukan sekadar berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai serta saling
bermaaf-maafan, tetapi juga tentang meraikan kebersamaan bersama keluarga dan insan tersayang dalam persalinan baju baharu.

Tidak kira mahal atau murah, baju raya menjadi simbol kebahagiaan dan kenangan yang memberikan nilai sentimental kepada pelanggan kami dalam menyambut lebaran.
Apa yang menarik, pelakon sensasi Rozita Che Wan atau dikenali sebagai Che Ta, berjaya memukau dan mengejutkan tetamu yang hadir dengan membuka tirai pertunjukan fesyen petang itu, sebagai
Muse Ariani Luxe 2025.
Masih berbisa dengan aura primadona, Che Ta kelihatan angun dan cantik bergaya memperagakan tudung dari
Ariani Luxe.
Pernah menjadi wajah kempen
Ariani pada tahun lalu, Che Ta meluahkan rasa teruja dan bersyukur menjadi sebahagian keluarga besar Ariani, meskipun dihimpit kontroversi.
Meneruskan pertunjukan fesyen Ariani pada petang itu, acara tertumpu kepada koleksi Ariani Ready To Wear (RTW)
Menurut Datin Farah Haryani, sebanyak 300,000 helai baju raya yang terdiri
daripada kurung, jubah, kurta dan baju melayu disediakan untuk lebaran kali ini.
Meskipun hanya 158 rekaan sahaja dipertontonkan pada pertunjukan fesyen kali ini, hakikatnya Ariani RTW mempunyai 300 rekaan terkini yang terdiri daripada baju kurung dan jubah bercorak serta polos di
mana saiznya bermula dari bayi, kanak-kanak, remaja sehinggalah saiz dewasa.
Ia didatangkan dalam hampir 10 material berbeza, termasuklah cotton, satin, twill, brocade serta yang terbaru chiffon, crepe, jacquard dan banyak lagi.
Ariani tetap berpegang kepada keteguhan identiti jenama ini yang sentiasa menghasilkan koleksi
selendang dan busana pada harga terbaik seiring dengan kualiti tudung dan busana yang dihasilkan, baik untuk pasaran butik fizikal juga untuk pasaran online.
Kesemua koleksi tudung Ariani ini
disasarkan untuk semua wanita pelbagai peringkat usia.
Masih mengekalkan tiga pesona jelitawan Malaysia, Datin Lisa Surihani, Uyaina Arshad dan Bella
Dally sebagai duta Ariani serta Fyza Kadir sebagai Muse Ariani Premium.
Tidak cukup dengan empat figura ini, Ariani juga turut memperkenalkan 11 wajah baharu untuk kempen raya
Ariani 2025 termasuklah Siti Khadijah, Siti Saleha, Amyra Rosli, Mawar Rashid, Uqasha Senrose, Liza Abdullah, Aqila Shamsudin, Amar Baharin, Naim Daniel, Roy Azman dan Ezzaidi
Aziz. Malah rakan-rakan pempengaruh Tiktok juga turut hadir.
Majlis pada petang itu dihangatkan dengan pertunjukan fesyen dari koleksi Aryan.
Penampilan hero-hero Malaysia yang terdiri daripada Datuk Rahim Razali, Datuk Fizz Fairuz, Edika Yusoff,
Arash Mohamad, Rusdi Ramli, Sham Visa, Roy Azman dan Zarul Umbrella menggamatkan suasana dalam persalinan baju melayu dan kurta mengembalikan nostalgia kegemilangan lakonan mereka suatu ketika dahulu.
Kemuncak majlis pada petang itu diserikan dengan satu lagi kejutan kolaborasi istimewa antara Ariani bersama Liberty London yang merupakan sebuah gedung fesyen mewah yang terkenal di London.
Selain menawarkan pilihan fabrik yang berkualiti dengan corak bunga ikonik,
Liberty juga menawarkan fesyen ready to wear, aksesori wanita, barangan kecantikan dan dekorasi
rumah dengan sentuhan klasik dan unik.
Koleksi Liberty X Ariani ini menampilkan 5 rekaan potongan tradisional dengan empat pilihan corak evergreen dari Liberty sebagai simbolik
mengangkat nilai budaya Malaysia bersama jenama antarabangsa.
Selain itu, Ariani juga turut menjalinkan kolaborasi bersama Bokitta, jenama tudung instant tanpa pin yang cukup popular di Malaysia.
Koleksi istimewa keluaran Ariani X Bokitta edisi raya ini merangkumi empat rekaan tudung instant plain, dengan 4 pilihan fabrik berbeza.
Koleksi lengkap Ariani X Bokitta ini akan dikeluarkan secara berperingkat bermula Jualan Mega Lebaran yang akan datang sehinggalah ke penghujung tahun ini.
Sebanyak lebih 30 rekaan yang diperkenakan menerusi kerjasama Ariani X Bokitta ini.
Tambah meriah, majlis pada petang itu diteruskan dengan pertunjukan fesyen Ariani Premium khusus untuk pelanggan yang gemarkan rekaan mewah dengan sentuhan eksklusif dan dijual dalam kuantiti yang terhad.
Kesemua koleksi Ariani sempena lebaran ini sudah mula dijual secara berperingkat dan koleksi lengkap sepenuhnya akan berada di pasaran sempena Jualan Mega
Lebaran yang akan berlangsung pada 21 Februari akan datang.
Majlis ini semakin meriah dengan persembahan istimewa penyanyi popular tanah air, antaranya Datuk Amy
Search, Datuk Awie, Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah.
Majlis yang penuh gemilang itu turut dihadiri oleh tetamu istimewa Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin. – WILAYAHKU