SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua pegawai kanan persatuan sukan di Johor disyaki terlibat salah guna kuasa membabitkan sumbangan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta dan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM27,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 17 Februari terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 60-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Johor.
“Suspek pertama yang merupakan Presiden persatuan sukan itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2023 hingga 2025.
“Suspek disyaki menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Setiausaha Kehormat memindahkan sebahagian daripada sumbangan berjumlah kira-kira RM1.3 juta yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan dan pihak swasta bagi tujuan aktiviti persatuan daripada akaun persatuan ke akaun miliknya dan anaknya.
“Suspek kedua, bekas Setiausaha Kehormat pula dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada 2023 hingga 2024 dengan mengemukakan dokumen permohonan yang mengandungi butir matan palsu berkaitan bayaran latihan berjumlah kira-kira RM15,000 dan bayaran subsidi peralatan sukan berjumlah kira-kira RM12,000 kepada Majlis Sukan Negeri sedangkan program dan pembekalan tidak dilakukan,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU