KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan terima kasih di atas penglibatan semua pihak dalam menjayakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 yang bermula pada 2 Disember 2024 hingga 6 Februari 2025.
KPM dalam kenyataan berkata, walaupun peperiksaan SPM Tahun 2024 telah berlangsung dalam musim Monsun Timur Laut yang menyebabkan bencana banjir di beberapa buah negeri, ia telah berjaya dilaksanakan dengan baik.
“Ini adalah hasil kesiapsiagaan awal, pengurusan cekap dan kerjasama erat dengan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, jabatan pendidikan negeri, pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua 126,636 petugas peperiksaan yang turut melibatkan 5,780 sukarelawan dalam kalangan orang awam termasuk pesara guru yang telah dilantik bagi
memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2024.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024 atas semangat juang, kecekalan dan kejayaan menduduki peperiksaan termasuk dalam situasi mencabar,” ujarnya.
KPM turut mendoakan yang terbaik untuk semua calon peperiksaan SPM Tahun 2024. Semoga kejayaan menjadi milik anda untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.
Terdahulu, seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara. – WILAYAHKU