ANAK bongsu kepada pemain bola sepak Zaquan Adha dan pelakon Ayu Raidhah, Muhammad Aisy Al Rees Mohammad Zaquan,6 bulan, meninggal dunia dalam tidur di kediaman mereka di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira jam 1 petang tadi.
Berita pemergian bayi berkenaan dikongsikan bapanya menerusi insta story.
“Salam semua, anak bongsu kami Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada pencipta-Nya sebentar tadi.
“Doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini,” tulisnya.
Sementara itu menurut pelakon dan usahawan Rozita Che Ta, yang juga kakak kepada Ayu Raudhah, pemergian Aisy Al Rees disedari ibunya.
“Ayu menyedari anaknya tidak sedar ketika tidur, dia kemudian menghubungi ambulans dan jenazah Aisy Al Rees di bawa ke Hospital Rembau.
“Allahyarham tidak sakit mahupun demam. Jadi pemergian dia memang sangat mengejutkan kami sekeluarga.
“Saya mohon kepada pihak media agar memberikan ruang kepada Ayu dan Zaquan dalam menghadapi detik sukar ini,” katanya
Terdahulu, Muhammad Aisy selamat dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu.
Ayu dan Zaquan berkahwin pada 21 Januari 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tujuh cahaya mata termasuk Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann,11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia setahun.-WILAYAHKU