Berita

PM kemudi Malaysia Madani dengan nilai diwariskan Tunku Abdul Rahman

- Diterbit 8 Februari 2025 10:55 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam mengemudi Malaysia Madani, beliau berpegang teguh kepada nilai-nilai yang diwariskan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Ujarnya, nilai tersebut adalah perpaduan, integriti, dan keadilan buat semua selain bertekad untuk meneruskan perjuangan demi negara yang lebih sempurna serta makmur buat semua.

“Hari ini kita mengenang ulang tahun keputeraan sosok negarawan ulung, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Nama Almarhum Tunku tidak hanya terukir dalam sejarah sebagai Bapa Kemerdekaan Negara, sebaliknya sebagai simbol kesepakatan dan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum dalam satu identiti nasional yang harmoni,” katanya di Facebook.

Menurut Anwar, keghairahan Tunku Abdul Rahman dalam memastikan negara ini kekal aman dan harmoni harus terus menjadi inspirasi kepada semua, terutama dalam menghadapi cabaran masa kini.

Katanya, sumbangan Tunku Abdul Rahman pastinya akan menjadi inspirasi untuk menjunjung nilai-nilai perpaduan dan keamanan yang telah membentuk kesatuan negara.

“Semoga legasi Almarhum Tunku terus menjadi panduan dalam usaha kita membina negara yang lebih baik untuk generasi mendatang.

“Mendoakan semoga roh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilimpahkan sebesar-besar ganjaran ihsan dan rahmat Allah SWT,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas