KEPENGERUSIAN ASEAN 2025 yang bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan menawarkan pelbagai peluang hebat kepada negara. Pengalaman diplomatik negara juga meletakkannya dalam keadaan yang baik untuk mengharungi cabaran serantau.
Visi Keterangkuman dan Kemampanan adalah sejajar dengan matlamat ASEAN untuk memupuk rantau yang lebih saksama dan makmur bagi semua negara anggota tanpa mengira saiz atau pembangunan ekonomi mereka.
Memberi pandangan tentang hal itu, Pengetua Kolej Canselor, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, Malaysia akan memainkan peranan lebih luas dan meningkatkan kerjasama strategik dalam beberapa bidang antaranya ekonomi, pelaburan, pertahanan tenaga boleh baharu, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan (AI) di antara sesama anggota ASEAN.
“Selain peranan tersebut, Malaysia menyasarkan zon perdagangan bebas di antara negara anggota di mana lebih banyak peluang perdagangan dapat dijalankan bersama bagi memastikan tidak ketinggalan berbanding pakatan dagangan negara-negara maju.
“Malaysia juga berhasrat untuk meningkatkan sinergi perdagangan dengan negara-negara kerjasama Teluk serta meningkatkan pelaburan antara syarikat-syarikat gergasi Timur Tengah,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Tambahnya dalam perspektif politik serta sosial pula, Malaysia akan menyasarkan daya usaha mempertahankan zon keamanan antara negara-negara anggota selain membantu menyelesaikan persengketaan politik.
“Dalam masa sama, dari segi sosial, Malaysia juga berusaha menjayakan pelan strategik merangsang pertumbuhan ekonomi, daya saing kemampanan sosioekonomi dan kelestarian peningkatan taraf hidup penduduk dalam kalangan negara anggota.
“Dengan hal itu, maka lebih banyak peluang pekerjaan berasaskan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi maklumat dapat dijanakan bersesuaian dengan keperluan tenaga maklumat terkini.
“Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN (SEAMEO) yang disertai turut menyasarkan kerjasama pendidikan bahasa Inggeris, Matematik dan sebagainya serta memfokuskan lebih kepada perkongsian teknologi pendidikan sesama anggota ASEAN.
“Menyandang tanggungjawab sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN tahun ini, sektor pelancongan negara akan juga dipergiatkan lebih-lebih lagi sebanyak 200 mesyuarat ketua-ketua negara ASEAN akan berlangsung di Malaysia sekali gus menjadikan negara ini tarikan utama pelancong dari negara-negara asing,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Agil berkata, sumbangan dan peranan Malaysia dalam ASEAN juga amat besar antaranya menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan memberi fokus kerjasama keamanan serantau anggota ASEAN serta bantuan kemanusiaan sesama ASEAN.
“Tidak ketinggalan juga, negara kita turut membantu menangani isu pencerobohan Vietnam terhadap Kemboja dan meredakan konflik politik di selatan Filipina,” katanya. – WILAYAHKU