KERAJAAN Malaysia telah mengambil beberapa tindakan tegas untuk membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial, terutamanya melalui beberapa langkah polisi dan agensi tertentu,” ujar Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Bilcher Bala.
Namun, biarpun tindakan kerajaan ini telah menunjukkan hasil usaha yang positif dan signifikan, tetapi masih terdapat cabaran yang perlu diatasi antaranya dari segi kepantasan penyebaran maklumat palsu dan kesedaran masyarakat yang masih rendah.
Kata Bilcher, usaha berterusan dan kerjasama dari semua pihak diperlukan untuk membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian dengan lebih berkesan. Malah, terdapat pandangan langkah yang diambil setakat ini masih boleh dipertingkatkan untuk mencapai tahap ketegasan yang lebih berkesan.
“Terdapat langkah-langkah penting yang diharapkan dapat menjadi panduan kepada kerajaan ke arah mencapai tahap ketegasan yang diperlukan untuk membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian dengan lebih berkesan.
“Kerajaan dicadangkan untuk memperketat undang-undang sedia ada dan memperkenalkan undang-undang baru yang lebih tegas terhadap penyebar fitnah dan hasutan.
“Kenakan hukuman yang lebih berat kepada individu atau kumpulan yang terlibat dalam penyebaran fitnah untuk memberi kesan pencegahan yang lebih kuat. Selain itu, kerajaan perlu menggunakan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan dan menghapuskan kandungan fitnah dengan lebih cepat dan efisien.
“Kerajaan mungkin boleh bekerjasama dengan negara lain untuk menangani jenayah siber dan penyebaran fitnah yang melibatkan pelbagai negara serta perlu usaha berkongsi maklumat dan teknologi dengan negara lain untuk meningkatkan keupayaan pengesanan dan pencegahan,” katanya.
Dalam pada itu, Bilcher berkata kerajaan perlu melancarkan kempen kesedaran yang berterusan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya fitnah dan cara mengenali berita palsu.
Katanya, perlu usaha mengintegrasikan pendidikan moral dan etika dalam kurikulum sekolah untuk membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.
“Menyediakan sokongan psikologi dan kaunseling kepada mangsa fitnah untuk membantu mereka mengatasi kesan psikologi yang dialami selain menubuhkan pusat aduan khusus untuk mangsa fitnah dan hasutan dalam talian,” katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan secara dalam talian dan media sosial, yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan serta berpecah-belah.
Justeru titah Baginda, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya itu dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul serta dipercayai.
Baginda bertitah ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat. – WILAYAHKU