Berita

Anwar umum peruntukan segera lebih RM24 juta untuk Sabah, Sarawak

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Kenduri Rakyat dan solat jumaat di Masjid Al-Muttaqin Taman Meru, Ipoh, 31 Januari, 2025. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 1 Februari 2025 4:31 PM MYT

KERAJAAN memperuntukkan lebih RM24 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan perkara itu berkata  bantuan Kerajaan Pusat kepada negeri yang dilanda bencana atas dasar tanggungjawab terhadap rakyat yang terjejas dengan bencana alam itu.

“Kita mempersiapkan (peruntukan) untuk segera memperbaiki kerosakan-kerosakan besar (akibat bencana banjir di Sabah dan Sarawak), kita luluskan.

“Ini pandangan (inisiatif) yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim. Tapi ikut tanggungjawab dan sebab itu kita lakukan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru.

“Kalau banjir di Perak kita bagi satu keluarga RM1,000. Di Sabah, Sarawak pun saya ada minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) segera luluskan dalam kadar segera RM1,000 ringgit bagi setiap keluarga mangsa banjir, kebakaran (dan) tanah runtuh.

“Kemudian kita siapkan beberapa puluh juta, katanya perlu RM20 juta atau RM24 juta segera untuk perbaiki kerosakan-kerosakan besar, kita luluskan. Ini pandangan yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim, tetapi ikut tanggungjawab, jadi kita lakukan,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan NADMA memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi Persekutuan dan negeri, susulan banjir yang melanda Sabah dan Sarawak.

Menerusi hantaran di Facebook itu, Anwar berkata keutamaan ketika ini ialah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan yang terkesan.

Menurut laman Facebook NADMA, 17,459 mangsa banjir melibatkan 11,734 orang di Sarawak dan 5,725 orang di Sabah ditempatkan di 92 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari semalam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas