MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata Wilayah Persekutuan bukan sekadar tempat tinggal tetapi
perlu dijadikan tempat membina impian, mencipta kenangan dan menyemai harapan.
“Hari ini, kita berkumpul sebagai sebuah keluarga besar, satu keluarga yang datang dari pelbagai latar belakang dengan cerita hidup yang berbeza-beza namun berpijak di tanah yang sama, Wilayah Persekutuan.
“Di sini, setiap jalan yang kita lalui, setiap bangunan yang menjulang tinggi semuanya berdiri teguh kerana usaha dan keringat kita bersama,” katanya dalam perutusan Hari Wilayah Persekutuan 2025.
Menurut Zaliha, kemajuan tidak pernah bermakna jika hati kita kosong dan jiwa terpisah.
Katanya, apa yang membuatkan Wilayah Persekutuan istimewa, bukan sekadar kemodenannya, tetapi semangat perpaduan dan nilai kekeluargaan yang sematkan di setiap sudutnya.
Tambahnya, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, setiap wilayah ini mempunyai cerita yang tersendiri.
“Kuala Lumpur, jantung ekonomi negara yang berdenyut dengan kehidupan.
“Labuan, permata di perairan yang menjadi pintu kepada peluang antarabangsa.
“Putrajaya, pusat pentadbiran negara, lambang kesungguhan dan harapan masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata di sebalik bangunan tinggi dan jalan yang sibuk, namun semua adalah jiwa-jiwa yang saling menyokong, saling membantu dan saling menjaga.
Katanya, apa maknanya sebuah kota besar jika penghuninya tidak berpegang kepada nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
“Hari ini, saya ingin mengajak kita semua untuk melangkah ke hadapan dengan hati yang terbuka.
“Bersama kita bawa kebaikan dan semangat baru kepada semua penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya.
Dalam pada itu, Zaliha berkata perlu buktikan kemajuan bukan hanya tentang bangunan yang megah, tetapi tentang nilai-nilai yang kita pegang erat.
“Kita jaga tradisi, kita pelihara budaya, kita semai perpaduan, di mana pun kita berada, kita adalah warga yang punya tanggungjawab bersama untuk memastikan wilayah ini terus makmur, aman dan sejahtera.
“Percayalah, setiap usaha kecil itu memberi impak besar. Senyuman yang kita berikan, sampah yang kita kutip, jiran yang kita tegur, semuanya menyumbang kepada membentuk komuniti yang lebih baik.
” Wilayah Persekutuan adalah rumah kita dan rumah yang bahagia terhasil daripada cinta, hormat dan rasa tanggungjawab bersama.
“Mari kita terus bersatu dan mari kita pastikan setiap langkah yang kita ambil, membawa kebaikan bukan hanya untuk diri kita, tetapi untuk generasi akan datang.
“Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2025. Semoga Wilayah ini terus menjadi tanah harapan, simbol perpaduan dan kebanggaan kita bersama,” katanya. – WILAYAHKU